Sabtu, 26 Mei 2012

pengguna lestari

Bagaimanakah penggunaan lestari boleh membangunkan kualiti kehidupan yang tinggi terhadap pengguna.


Penggunaan secara lestari adalah amalan pengguna yang menggunakan barangan dan perkhidmatan yang mencapai tahap kualiti kehidupan yang tinggi yakni tidak berlaku pembaziran dan tidak memudaratkan pihak lain. Amalan penggunaan yang tidak lestari seperti penggunaan barang dan perhidmatan gaya hidup mewah dan membazir hanya mendatangkan kepuasan terhadap individu sahaja tetapi tidak terhadap masyarakat sekitar dan alam sekitar. Amalan yang tidak lestari ini akan menyebabkan lambakan sampah sarap, eksploitasi alam secara meluas dan menyebabkan kerosakan alam. Lantaran itu, pihak pengguna harus sedar akan pentingnya penggunaan lestari dalam menjamin kualiti kehidupan sejagat.
Antara contoh amalan penggunaan lestari adalah menggunakan barangan yang bebas bahan toksik dan pencemar alam atau barangan mesra alam yang terdiri daripada bahan organik, hijau dan di kitar semula. Apabila membeli, lihat pada pembungkusan produk tidak kira bekas, botol atau kotak. Beli produk yang menyokong pembungkusan yang boleh diguna semula dan di kitar semula. Cara ini dapat mengurangkan terhasilnya sisa pepejal. Ketika keluar membeli-belah juga amalkan membawa bersama beg sendiri dari rumah. Elakkan menggunakan beg plastik terutamanya yang memakan masa untuk dilupuskan. Sebabnya, salah satu daripada sampah yang sering dibuang adalah pembungkus barangan harian yang dibeli termasuk beg plastik yang digunakan untuk membawa barangan tersebut.
Kurangkan penggunaan plastik atau polistirena dalam membungkus makanan kerana mengandungi bahan berasaskan petroleum dan tidak boleh di urai. Bahan tersebut adaah jenis degradasi yang boleh kekal selama beratus tahun. Bahan plastik ini lengai pada mikroorganisma, ultraungu, haba dan air. Plastik bukan sahaja menyebabkan masalah pelupusan tetapi juga memberi kesan kepada hidupan marin. Kini teknologi menggunakan bahan ubi kaya sebagai bahan membuat bekas makanan semakin kiat dijalankan. Oleh itu, pengurangan kegunaan bahan tersebut mampu mengekalkan kelestarian alam.
Mengelakkan pembaziran juga penting bagi menjamin kualiti kehidupan. Kehidupan secara bersederhana ini bukanlah bermaksud menjadi lebih miskin tetapi menggunakan sumber secara cekap dan berkhemah. Contohnya penggunaan elektrik dan air harus dijimatkan. Tutup suis elektrik yang tidak digunakan dan gunalah barangan elektrik yang rendah voltan bagi menjamin kelestarian sumber. Mulakan dengan membeli peralatan elektrik yang menjimatkan tenaga. Kini, banyak jenama telah mengambil langkah mengeluarkan produk penjimatan tenaga dalam usaha untuk mengurangkan pemanasan global. Ataupun, pilih barangan yang bersesuaian seperti penggunaan lampu kalimantang yang empat kali lebih cerah daripada mentol walaupun kedua-duanya menggunakan kuasa watt yang sama. Malah ia juga tahan lapan kali lebih lama berbanding mentol. Sekiranya semua ini diamalkan, ia bukan sahaja dapat menyumbang ke arah persekitaran yang lebih sihat malah mampu mengekalkan kehijauan alam serta menjimatkan perbelanjaan. Penggunaan yang kreatif juga boleh meningkatkan penjimatan dan melestarikan sumber alam seperti menggunakan kayu api, kayu balak, pasir dan sumber air selain air paip seperti air hujan, tasik dan sungai. Air tadahan hujan boleh digunakan untuk menyiram tanaman dan mencuci kereta. Oleh itu pengguna harus bijak menggunakan kaedah yang boleh meminimumkan pembaziran air.
Pengguna juga perlu mengelakkan daripada membeli barangan yang telah ada di rumah kerana mungkin barangan tersebut akan rosak kerana tidak digunakan. Masyarakat perlu belajar berbelanja mengikut keperluan mereka. Rancang dulu perbelanjaan sebelum berbelanja. Sebaiknya, buat senarai barangan yang diperlukan dan belilah barangan hanya bila ia diperlukan. Mungkin tidak semua barangan perlu dibeli. Contohnya, menanam sendiri sayuran di kawasan rumah termasuk menggunakan teknik hidroponik yang turut menjurus kepada amalan penggunaan lestari. Malah, cara ini bukan sahaja dapat memastikan sayuran yang dimakan segar dan bebas bahan kimia racun perosak, tetapi boleh menjimatkan perbelanjaan keluarga.
Selain itu, pengguna juga boleh menjimatkan sumber bahan bakar dengan berusaha mengurangkan penggunaan kenderaan untuk ke tempat-tempat yang berdekatan. Galakan menggunakan pengangkutan awam dapat mengurangkan pencemaran dan golongan pendapatan rendah dapat menikmati sistem pengangkutan yang lebih baik. Penggunaan kenderaan awam juga dap mengelakkan kesan asap yang mengeluarkan nitrogen dan sulfur oxides yang boleh membunuh 200,000 – 570,000 orang. Hal ini secara tidak langsung menjamin kelestarian bumi. Selain itu, pelbagai alternatif lain boleh dilakukan untuk menjimatkan penggunaan petrol seperti berjalan kaki ke tempat yang dekat, menunggang basikal dan berkongsi kereta. Jika perlu menggunakan kenderaan sendiri, pengguna boleh menggunakan biodiesel atau gas asli kenderaan (NGV). Periksa kereta secara berkala, penalaan enjin dan tayar kereta yang mencukupi kadar anginnya mampu menjimatkan petrol. Langkah yang lebih baik adalah tinggal di kawasan yang berhampiran dengan tempat kerja.
Penggunaan yang lestari juga sangat peka tentang kesihatan kendiri dan sekitarnya. Oleh itu amalan merokok harus ditinggalkan, dicegah dan dielakkan berada di sekitar perokok. Hal ini kerana aktiviti merokok bukan sahaja membahayakan kesihatan perokok tetapi melibatkan penghidu asap yakni masyarakat sekitarnya. Kandungan asap rokok yang tinggi bahan toksik seperti gas methanol, monoksida, tar dan nikotin mampu menyebabkan kanser dan pencemaran alam.
Amalan membawa makanan di sekolah atau di tempat kerja juga boleh menjamin kualiti hidup. Masyarakat yang mengamalkan membawa bekal dapat menjimatkan belanja, mengamalkan pemakanan yang sihat dan terjamin kebersihannya. Selain itu masak di rumah dan elakkan makan di gerai dengan kerap juga mampu membantu meningkatkan kualiti hidup pengguna. Hal ini kerana makanan yang dijual di luar diragui kebersihannya, keselamatannya dan sejauh mana ia halal.
Kesimpulannya, pengguna harus sedar dan mengubah sikap bermula hari ini. Pengguna yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar akan menjalani dan melaksanakan amalan penggunaan lestari demi masyarakat dan alam sekitar. Kelestarian bumi harus dijaga bagi memastikan ia dapat terus diwarisi oleh generasi akan datang. Selain itu, amalan lestari juga dapat membentuk sebuah masyarakat yang prihatin terhadap alam sekitar dan hidupan lain seterusnya memberi kualiti hidup yang lebih tinggi dan selesa kepada semua golongan masyarakat.

1 ulasan: