Jumaat, 11 April 2014

ULASAN BUKU "DILEMA MELAYU"

Dilema Melayu ("The Malay Dilemma") adalah karya bekas Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ditulis pada 1970. Buku ini pernah menjadi kontroversi suatu ketika dahulu sehingga diharamkan oleh kerajaan. Namun begitu, pengharaman tersebut tamat setelah beliau menjadi Perdana Menteri. Pada 1982, Ibrahim Saad telah menterjemahkan buku ini dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu dan diterbitkan oleh Federal Publication Sdn. Bhd. Buku ini mengandungi 222 halaman bercetak serta mengandungi 11 bab yang membincangkan dilema Melayu. Setiap bab membawa tema yang berlainan. Antara tema yang diketengahkan adalah tentang sikap dan mentaliti orang Melayu, pengaruh keturunan dan alam sekitar ke atas bangsa Melayu, dilema ekonomi Melayu, pengertian persamaan kaum, pemulihan bangsa Melayu dan dilema Melayu, masalah Melayu, tatasusila dan sistem nilai Melayu serta politik perkauman dan parti serta isu Malaysia dan Singapura. Buku ini sangat bermanfaat dan mampu memberi gambaran sebenar tentang konflik yang dihadapi oleh orang Melayu ketika zaman pra kemerdekaan lalu. Bagi menzahirkan pandangan dan kekecewaan penulis ketika itu, beliau telah menulis karya ini dengan harapan dapat memberi kesedaran kepada orang Melayu dan mengajak orang Melayu membuat perubahan sikap dan mentaliti. Menerusi bab 1 yang berjudul “Pendahuluan”, Tun telah mengemukakan beberapa faktor yang mendorong kelemahan orang Melayu dalam pelbagai bidang kehidupan. Misalnya dalam bidang pelajaran, pelajar Melayu agak ketinggalan. (Halaman: 11). Hal ini disebabkan pengaruh keturunan dan alam sekitar, dasar pelajaran, kekurangan kemudahan dan kelemahan guru sendiri. Kesemua faktor tersebut boleh diperbaiki jika masyarakat Melayu mengubah mentaliti mereka. Isu yang sangat ditekankan adalah isu keturunan dan alam sekitar. Pertama, baka orang Melayu yang sejak azali bersifat inferior, sopan santun dan rendah diri menyebabkan bangsa Melayu mudah di manipulasi oleh kaum lain. Kedua, keturunan sangat mempengaruhi potensi generasi yang lahir. Fenomena yang berlaku dalam masyarakat Melayu pula tidak menitikberatkan isu ini. Orang yang cacat dan lemah juga dipaksa berkahwin. Oleh itu, lahirlah generasi yang lemah. Isu ketiga yang diketengahkan adalah perkahwinan seketurunan yang menjadi amalan orang Melayu tidak mampu melahirkan baka yang baik (Halaman : 12) Bab 2, “Di Manakah Silapnya”. Bab ini membincangkan tentang persoalan yang menjadi punca rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Tun memulakan topik dengan pertanyaan di manakah silapnya dan mengakhiri bab dengan frasa di situlah letak silapnya. Oleh itu, Tun telah menerangkan faktor yang mengundang kepincangan perpaduan. Antara faktornya, penjajahan Jepun yang bercorak kuku besi, sikap orang Melayu yang mudah mengalah dan ketidaktelusan pemimpin UMNO yang tidak mengendahkan pendapat rakyat sehingga tercipta jurang yang besar antara kerajaan dan rakyat. Kesemua faktor ini telah mempengaruhi pemikiran rakyat ketika itu. Selain itu, Tun juga ada menceritakan latar belakang hubungan antara kaum di Tanah Melayu sebelum dan selepas merdeka. Bibit-bibit persengketaan dan kecurigaan sebenarnya telah wujud sebelum 1969 namun tidak meruncing kerana dapat dikawal oleh British. Buktinya telah berlaku beberapa peristiwa yang berumbikan sentimen perkauman seperti pergaduhan kaum Melayu dan Cina di Bukit Mertajam pada 1964 dan rusuhan di Pulau Pinang pada 1968. Oleh itu, konflik ekonomi, politik dan sosial ini menjadi punca ketegangan kaum yang berlaku. Bab 3 pula bertemakan “Pengaruh Keturunan dan Alam Sekitar Terhadap Bangsa Melayu”. Keturunan sangat mempengaruhi potensi sesebuah bangsa. Alam sekitar pula berperanan membentuk seseorang. Keturunan dan alam sekitar sangat berkaitan dalam melahirkan generasi baru, (halaman : 32). Mengikut hukum Mandel, sesuatu kelahiran itu akan mewarisi sifat dan ciri daripada ibu bapa mereka terutamanya ciri-ciri yang dominan. Untuk membina ciri positif yang dominan, sesebuah pasangan digalakkan berkahwin dengan pasangan yang tidak ada pertalian darah dengan mereka. Hal ini kerana pasangan yang mempunyai pertalian darah mempunyai ciri dan sifat yang sama. Apabila mereka disatukan, sifat negatif mereka akan menjadi dominan. Oleh itu, perkahwinan dalam kaum keluarga tidak akan menghasilkan zuriat yang baik. (Halaman: 31). Bagi melangsungkan perkembangan baka, manusia perlulah bijak dalam menyesuaikan diri dengan alam sekitar agar penyaluran baka dapat berlaku. Selain itu, bab ini juga membincangkan tentang asal usul keturunan Melayu dan Cina. Tun telah membandingkan semangat yang dibawa oleh kedua-dua kaum tersebut. Orang Melayu yang hidup di kawasan dataran dengan bekalan makanan yang mencukupi dan tidak menghadapi kesulitan sangat berbeza dengan orang Cina yang menjalani kehidupan yang penuh dengan dugaan seperti bencana alam, kekurangan makanan dan peperangan sejak 4000 tahun dahulu. Oleh itu, hanya baka yang kuat dan mampu bertahan sahaja layak meneruskan kehidupan sehingga hari ini. Kedatangan orang Cina di Tanah Melayu saban tahun ketika itu pasti memberi cabaran dan saingan kepada kaum Melayu yang hidup sederhana dan tidak terdedah kepada bahaya. Orang Melayu pula tidak bijak menggunakan peluang untuk mengeksploitasi hasil bumi kerana cenderung dengan kegiatan pertanian padi yang hanya memerlukan usaha keras selama dua bulan untuk menikmati hasil selama setahun. Lantaran itu, sejarah yang perit juga banyak mengajar orang Melayu untuk berusaha keras kerana mereka mulai sedar keselesaan yang dirasai selama ini telah dirampas oleh orang Cina. Kebimbangan orang Melayu ini kemudiannya diselamatkan dalam pergerakan politik. Pelbagai dasar dan kuota dibuat ketika itu. Namun bagi Tun, tanpa peranan politik, besar kemungkinan orang Melayu lebih berusaha dan mampu melahirkan keturunan yang baik. Menerusi bab 4, “Dilema Ekonomi Melayu”, kita boleh memahami dilema Orang Melayu dalam bidang ekonomi ketika itu, di mana bangsa asing mula menjadi sebahagian daripada pelaku ekonomi negara. Kedatangan pedagang Cina sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka telah menggalakkan mereka membuka perniagaan runcit di serata Tanah Melayu. Penglibatan ini nampak lebih berpengaruh selepas kehadiran buruh asing yang dibawa masuk secara pukal zaman British. Mereka mula mengambil alih semua lapangan ekonomi meliputi aktiviti perdagangan, kerja-kerja mahir dan tidak mahir. Ketika zaman British, orang Cina telah memonopoli aktiviti perniagaan sedangkan orang Melayu ramai yang masih bergantung pekerjaan dengan kerajaan. Oleh itu, peralihan pemerintahan daripada British ke Jepun telah menyebabkan ramai orang Melayu dipecat dan hilang punca pendapatan. Bermula daripada itu, orang Melayu mempelajari cara berniaga dan mendapat bantuan kerajaan namun masih tidak dapat menandingi kejayaan orang Cina yang bijak dalam selok-belok perniagaan. Mereka menggunakan rasuah, tipu helah dan tidak akan berniaga dengan orang bukan Cina. Ikatan kekeluargaan dalam perniagaan mereka sangat kuat serta ditambah pula dengan penubuhan dewan perniagaan, gabungan seniaga dan kesetiaan keluarga mengukuhkan lagi kedudukan mereka. Oleh itu, kebanyakan kontrak mega diperoleh mereka ketika penjajahan British. Orang Melayu yang bersikap kurang progresif dan mudah bertolak ansur menyebabkan suara mereka tidak dikemukakan secara terbuka. Sebaliknya sikap mereka yang mahu cepat kaya dan tidak mahu mempelajari kemahiran baru telah menguntungkan orang Cina. Misalannya, mereka sanggup mendagangkan nama mereka kepada orang Cina dengan “mengalibabakan” lesen perniagaan yang diberi kerajaan. Secara keseluruhannya mereka tidak terlibat langsung dengan urusan perniagaan tersebut tetapi mengambil keuntungan yang kecil daripada mereka. Sikap ini akhirnya membawa kesan yang negatif terhadap kek ekonomi negara. Selain itu, orang Melayu juga boleh menerima perubahan dengan menggunakan teknologi moden tetapi tidak berusaha untuk mempelajari cara menghasilkan teknologi tersebut. Oleh itu, banyak sifat negatif orang Melayu telah diulas dalam bab ini. Bab 5 pula dengan judul “Pengertian Persamaan Kaum”. Persamaan kaum bermaksud penerimaan dan perkongsian antara kaum yang mencakupi aspek sosial, politik dan ekonomi. Persoalan perkauman ini adalah isu yang sering dipertikai oleh negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia dan lain negara di dunia. Lantaran itu, negara terbabit perlu menggunakan kuasa undang-undang dan diskriminasi tertentu untuk mengimbangi konflik ini. Sungguhpun begitu, isu ini amat sukar untuk diselesaikan. Hal ini dapat dilihat dalam tindakan Amerika Syarikat yang mengenakan diskriminasi sosial dan ekonomi terhadap kaum negro di sana. Tindakan mereka memulau kaum Negro telah mewujudkan jurang antara mereka. Apabila kaum Negro memasuki sesebuah kawasan penempatan, orang kulit putih akan berpindah keluar beramai-ramai sehingga kawasan itu menjadi penempatan kaum Negro sahaja. Selain itu, kaum Red Indian di Amerika juga mengalami nasib yang sama. Walaupun mereka penduduk asli benua itu, namun kelemahan mereka menyebabkan tanah mereka dirampas. Fenomena ini juga berlaku di Malaysia. Perbezaan status ekonomi antara orang Melayu dan orang Cina memerlukan tindakan undang - undang untuk disetarakan kedudukan itu kembali. Antaranya adalah dengan mewujudkan Undang-Undang Tanah Simpanan Melayu, Hak keistimewaan Melayu dan Ketuanan Raja-Raja Melayu. Namun begitu, dilema yang dialami oleh orang Melayu zaman penjajahan mendesak tanah mereka diperdagangkan misalnya mereka berhutang dengan mencagarkan tanah dan pergantian tanah lombong Melayu dengan tanah hutan yang tidak bernilai seperti yang dinyatakan oleh Tun. “Dapat dirumuskan bahawa dari segi penaksiran sebenar, orang bukan Melayu mempunyai tanah yang lebih berharga di kawasan bandar dan tanah yang mengeluarkan hasil yang lebih baik, sebenarnya berada dalam kedudukan yang istimewa. Dengan kata lain, walaupun wujud undang-undang tanah simpanan Melayu, orang Melayu dianggap sebagai tuan tanah kelas kedua.” (Halaman 91) Selain itu, kuota dalam pelajaran, biasiswa dan perkhidmatan kerajaan juga diberi kepada orang Melayu untuk menyamakan kedudukan orang Melayu dengan kaum lain. Namun begitu hal ini tidak semudah mana untuk diselesaikan kerana undang-undang dan dasar kerajaan ini gagal menyelamatkan ekonomi orang Melayu. Sebaliknya orang Melayu telah dipulaukan oleh orang Cina dalam bidang perniagaan. Orang Cina tidak mahu mengupah orang Melayu dalam perusahaan mereka dan mendakwa orang Melayu tidak bijak berniaga. Orang Melayu hanya menjawat jawatan yang tidak membawa kepada pengalaman dalam bidang perniagaan seperti pemandu peribadi dan penarik beca. Diskriminasi secara halus ini menyebabkan orang Melayu tidak mampu kekal di bandar. Persoalan kedua yang diketengahkan oleh Tun adalah mengapa orang Melayu tinggal di kampung dan mundur sedangkan orang bukan Melayu tinggal di bandar yang maju. Hal ini kerana sikap perkauman yang membawa corak sosial ini terbentuk. Orang Melayu bersifat santai dan toleransi sedangkan orang Cina pula rajin bekerja dan licik. Pendidikan yang bertaraf cemerlang di bandar telah melahirkan ramai golongan profesional daripada kaum bukan Melayu. Taraf pendidikan di kawasan luar bandar pula tidak setanding dengan kawasan bandar yang mempunyai sistem tradisi yang kian lama diamalkan. Oleh itu, peluang pekerjaan yang layak mereka ceburi juga semakin kecil dan hanya mengharapkan kuota penjawat awam. Lama-kelamaan sistem kuota ini dibuka juga kepada orang bukan Melayu dan memberi saingan kepada orang Melayu. Diskriminasi yang dikenakan juga tidak boleh dijamin sepanjang zaman. Oleh itu orang Melayu perlu mengubah sifat yang bersantai kepada lebih peka dan sensitif terhadap hak mereka agar lebih sepadan dengan sifat orang Cina. Bab 6 pula membincangkan tentang “Asas-Asas Perpaduan Kebangsaan”. Elemen yang menjadi asas pembinaan negara bangsa adalah bahasa, agama, budaya dan simbol-simbol negara seperti raja, perlembagaan, rukun negara, lagu kebangsaan, bendera dan undang-undang negara. Elemen tersebut juga merupakan alat perpaduan kebangsaan apabila rakyat sanggup berkongsi bahasa, budaya, dan agama serta tinggal dalam wilayah yang sama. Namun begitu, usaha mencapai perpaduan tidak semudah itu. Terutamanya negara yang mempunyai masyarakat majmuk. Mereka perlu menggunakan pelbagai cara membentuk asas perpaduan yang kukuh. Dalam bab ini, Tun telah mengambil contoh negara yang bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, Amerika Syarikat dan Switzerland dalam melahirkan asas perpaduan masing-masing. Amerika Syarikat telah menerima kedatangan buruh asing daripada pelbagai negara pada abad ke 19 dan 20. Mereka juga dituntut untuk mempelajari bahasa Inggeris dan mewajibkan bahasa itu digunakan dalam pertuturan di Amerika. Dasar ini telah diterima oleh mereka. Lama-kelamaan, bahasa ibunda pendatang tersebut lenyap selepas satu generasi. Penyatuan bahasa ini menjadi alat yang kuat untuk membina perpaduan. Persamaan kebudayaan pula wujud selepas berlaku proses asimilasi budaya antara mereka. Kebudayaan yang dibiarkan berkembang itu akhirnya telah membentuk sebuah kebudayaan kebangsaan. Switzerland pula adalah negara yang dibentuk oleh pelbagai etnik yang menolak krisis politik negara asal. Orang-orang di Switzerland boleh dikatakan tidak suka berpolitik dan suka mengambil sikap berkecuali. Mereka telah membina wilayah mereka sendiri. Sewaktu pilihan raya, tidak ramai yang turut mengundi. (Halaman: 121). Oleh itu, perpaduan negara ini terletak pada kestabilan politik dan sikap keterbukaan mereka. Mereka boleh hidup dalam suasana yang harmoni walaupun menggunakan 4 bahasa rasmi (Perancis, Itali, Jerman dan Inggeris). Kebudayaan mereka juga hampir serupa kerana mereka berketurunan Eropah. Malaysia juga mempunyai asas perpaduan tersendiri. Bahasa Melayu merupakan kunci perpaduan itu (Halaman: 21). Menurut perlembagaan bahasa Melayu yang dijadikan bahasa rasmi perlu dipertuturkan dalam setiap urusan negara. Hal ini sangat penting dalam menjadi alat perpaduan negara. Bab 7, “Pemulihan Bangsa Melayu dan Dilema Melayu”. Dalam bab ini Tun telah mencadangkan beberapa usaha untuk memulihkan kembali dilema yang dihadapi oleh orang Melayu ini. Antara usaha yang dikemukakan dalam bab ini adalah menghendaki orang Melayu berubah dan melalui proses revolusi. Orang Melayu perlu mempertahankan hak dan ketuanan Melayu agar kekal sebagai bangsa jati di tanah ini. Antara ketuanan yang perlu dipertahankan adalah institusi raja-raja Melayu, agama Islam dan adat istiadat Melayu. Ketiga-tiga entiti ini perlu dikekalkan melalui revolusi yang sesuai. Selain itu, usaha untuk membandarkan orang Melayu juga memerlukan proses revolusi yang menyeluruh dari aspek ekonomi, sosial dan politik. Perubahan ini perlu berpihak kepada orang Melayu. Bagi membandarkan orang Melayu, kerajaan perlu menarik golongan tersebut berhijrah ke kawasan bandar yang lengkap dengan kemudahan. Oleh itu, kerajaan perlu memberi peluang pekerjaan kepada orang Melayu agar mereka mendapat jaminan pendapatan yang tetap. Seterusnya, kerajaan perlu menyediakan infrastruktur yang baik agar perhubungan antara kaum boleh berlaku di bandar, membina rumah-rumah kos rendah di bandar, memberi latihan dan kemahiran dalam pelbagai bidang kepada orang Melayu dan memperuntukkan rumah-rumah kedai untuk pengusaha Melayu. Tun juga mencadangkan agar kerajaan sepatutnya mengambil alih projek-projek pembangunan sedikit demi sedikit daripada tangan orang Cina dan Eropah agar peluang ini dapat diceburi oleh orang Melayu (Halaman: 126). Selain itu, orang Melayu juga terus bekerja dalam sektor kerajaan kerana terlalu mementingkan pencen. Hal ini berbeza dengan orang Cina yang bekerja makan gaji untuk menimba pengalaman seterusnya membuka perusahaan sendiri. Oleh itu, bagi menamatkan dilema ini, kerajaan telah mewujudkan skim pencen kekal kepada penjawat awam yang ingin menceburi bidang politik dan lain –lain bidang dalam projek-projek kerajaan. Kumpulan wang simpanan pekerja juga merupakan inisiatif untuk menggalakkan orang Melayu menceburi bidang lain. Tun juga mengesan kelebihan yang dimiliki oleh wanita Melayu yang rajin bekerja lebih masa. Beliau menggalakkan kerajaan memberikan peluang kepada suri rumah untuk menjalankan perniagaan sendiri dengan membina rumah kedai untuk mereka agar dapat menjalankan perniagaan tanpa mengabaikan keluarga. Bab 8 bertemakan “Masalah Melayu”. Dalam bab ini Tun telah mengetengahkan sikap orang Melayu yang bersopan, rendah diri dan sanggup memendam rasa demi menjaga hati dan tatasusila masyarakat sekitarnya. Sungguhpun sikap ini baik, namun tindak balas yang diterima oleh orang Melayu tidak seperti yang diinginkan. Orang Melayu sanggup bertolak ansur dengan kaum lain tetapi bagi mereka tindakan ini adalah kelemahan orang Melayu yang gagal mempertahankan hak mereka telah mendatangkan masalah dalam membina negara bangsa. Selain itu, Tun juga membincangkan tentang hak terhadap negara ini. Setiap pihak mendakwa mereka mempunyai hak dalam negara. Hakikatnya orang Melayu adalah pemilik tunggal tanah air ini. Hal ini kerana pemilik sesebuah negara itu terletak kepada kaum yang mula-mula membina kerajaan. Dakwaan bahawa orang asli adalah pemilik negara ini tidak boleh diterima kerana mereka tidak pula mempunyai sistem kerajaan yang diiktiraf. Sebaliknya orang Melayu telah menghidupkan Tanah Melayu ini sebelum kedatangan penjajah lagi. Tun juga ada memberi beberapa bukti yang menunjukkan Raja-Raja Melayu telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dan layak untuk dikira sebagai sebuah kerajaan. Dakwaan orang Cina dan India yang berhak memiliki negara ini atas alasan mereka turut memajukan negara ini juga tidak relevan. Jika syarat itu dijadikan petunjuk kepada hak memiliki negara, sudah pasti British adalah pihak yang paling berhak menuntut kewarganegaraan. Oleh itu, orang Melayu sebenarnya telah melakukan pengorbanan terbesar dengan berkongsi tanah air ini untuk memakmurkan negara. Ini adalah sumbangan yang tidak boleh dibayar oleh mana-mana pihak sebenarnya. Sebagai penduduk tetap negara ini, orang Melayu berhak memberi syarat kerakyatan kepada pendatang asing ini. Kewarganegaraan ini diberikan sebagai tanda pengiktirafan kesetiaan mereka terhadap tanah Melayu. Sungguhpun kesetiaan ini mudah diakui tetapi sukar dibuktikan. Jika mengikut ketetapan syarat kewarganegaraan negara-negara lain di dunia, pendatang asing ini perlu menyesuaikan diri dengan penduduk tetap dan mengamalkan bahasa dan budaya penduduk tetap agar mereka diterima. Ketegasan orang Melayu dalam mempertahankan hak mereka sangat tipis dan berbeza dengan penduduk tetap di negara lain di dunia. Malaysia pula gagal membentuk rakyat yang homogen. Namun begitu, persamaan kaum boleh dijadikan alat perpaduan. Oleh itu, isu tuntutan dan hak keistimewaan orang Melayu tidak wajar disuarakan kerana terlalu banyak tolak ansur yang diberikan. Masalah yang timbul rentetan daripada rasa tidak puas hati antara kaum perlu diselesaikan dengan segera agar keharmonian boleh dikekalkan. Bab 9 bertemakan “Tatasusila dan Sistem Nilai Melayu”. Dalam bab ini Tun telah menerangkan tentang konsep tatasusila dan sistem nilai yang diamalkan oleh orang Melayu. Menurut Tun, sistem nilai dan tatasusila sangat berkaitan dengan agama Islam. Perkaitan kedua elemen tersebut akan membentuk beberapa nilai yang diamalkan orang Melayu. Antara nilai yang dipegang oleh orang Melayu adalah kesopanan dan ketertiban. Sikap ini menjadikan orang Melayu tidak mahu berterus terang, sukar menetapkan keputusan, terlalu mengangkat orang luar dan terlalu menjaga hati orang lain. Selain itu, Tun juga ada menerangkan beberapa nilai yang diamalkan oleh orang Melayu dalam kehidupan mereka seperti mengutamakan orang tua, bersabar dalam segala hal, tidak menatingkan harta kekayaan, suka menyerah kepada takdir, sifat simpati yang tinggi, memilih untuk hidup sederhana, menghargai nyawa, mengutuk perbuatan membunuh diri, redha dengan kematian, tidak mementingkan masa, tidak mengusai ilmu perniagaan, mementingkan harta tanah dan sangat mementingkan sistem feudal. Bagi Tun pula, tidak kesemua nilai yang diamalkan boleh memajukan orang Melayu. Terdapat nilai dan tatasusila orang Melayu yang menjadi penghalang kepada kemajuan. Oleh itu, orang Melayu perlu mengenal kelemahan dalam budaya masyarakat Melayu dan melakukan perubahan. Bab 10, “Politik Perkauman dan Parti”. Menerusi bab ini, Tun telah mengetengahkan sifat perkauman yang tidak boleh lari dalam aspek kehidupan termasuklah dalam bidang politik. Walaupun konsep bukan perkauman cuba dibawa dalam institusi politik, namun usaha ini dilihat gagal kerana bangsa bukanlah perkara yang mudah untuk dilupakan terutamanya bagi orang Asia. Malaysia mengalami fenomena perkauman sejak zaman British lagi apabila dasar pecah dan perintah dilaksanakan. Ketiga-tiga kaum dipisahkan dalam kancah politik, sosial dan ekonomi. Oleh itu, wujud jurang dan ketidakseimbangan antara mereka. Bagi mencapai kembali keseimbangan itu, undang-undang tertentu perlu dikuatkuasakan sementara politik perkauman perlu dihapuskan. Persoalannya adalah adakah tindakan menghapuskan politik perkauman ini jalan terbaik dalam mewujudkan persamaan dan integrasi. Bagi Tun, politik perkauman bertujuan untuk mencapai persamaan kaum. Apabila persamaan dapat dicipta, maka akan lahir sebuah perpaduan. Bab terakhir pula membincangkan tentang “Malaysia dan Singapura”. Bagi beliau, pemisahan Singapura dan Malaysia adalah tindakan yang tepat kerana Singapura tidak sehaluan dengan negara kita atas perbezaan ideologi dan faktor perkauman. Setiap usaha ke arah kerjasama kedua buah negara itu tidak berakhir dengan baik, sebaliknya kedua negara saling mencemuh. Singapura pula menganggap kerajaan mereka yang tidak demokrasi itu sebagai negara yang hebat. Permusuhan ini membuktikan bahawa penyatuan tidak wajar diwujudkan ketika itu. Namun begitu, sebagai dua buah negara yang berdaulat, hubungan diplomatik perlu diadakan atas faktor tertentu seperti geografi, sejarah, ideologi, asal usul, bahasa dan keselamatan. Kedua–dua negara memerlukan antara satu sama lain. Namun Singapura dilihat lebih memerlukan Malaysia berbanding Malaysia yang memerlukan Singapura. Oleh itu, Malaysia telah mencuba sedaya upaya mengurangkan pergantungan dengan Singapura seperti membina pelabuhan sendiri di Klang, membina sistem pertahanan dan perdagangan luar negeri sendiri. Melalui kefahaman saya, buku ini telah membincangkan pelbagai aspek yang menjadi pendorong dan penghalang kepada kemajuan orang Melayu. Orang Melayu adalah subjek dalam penulisan ini kerana bangsa Melayu adalah penduduk tetap negara yang sedang bergelut dengan dilema ketika itu. Bagi mengatasi kebuntuan ini, kerajaan telah meletakkan syarat dan undang-undang tertentu yang boleh membantu orang Melayu. Namun begitu, negara juga tidak mengabaikan kepentingan kaum lain malahan banyak tolak ansur diberikan kepada mereka. Jika dibandingkan dengan negara lain di dunia, orang Melayu jauh lebih sopan dan sangat menghormati orang luar. Mereka bersikap sederhana dan sangat mengutamakan perasaan orang lain sehingga ditindas oleh kaum pendatang ketika itu. Isu perkauman juga adalah tamparan yang hebat buat negara. Buku ini juga ada menerangkan faktor yang boleh mencetuskan peristiwa 13 Mei 1969 dan beberapa faktor yang menyebabkan kemunduran orang Melayu. Punca yang dikaji ini perlu dicari jalan penyelesaiannya. Oleh itu, Tun turut mencadangkan beberapa idea untuk mengatasi konflik tersebut. Secara keseluruhannya, idea beliau adalah relevan untuk diamalkan pada tahun-tahun tersebut. Kini negara telah mengalami transformasi yang pelbagai dan mula menonjolkan persamaan dan penyamarataan antara kaum. Jika kita membuat perbandingan pada dasar kerajaan hari ini yang memegang konsep satu Malaysia kita dapati telah banyak perubahan dan perkembangan di Malaysia ke arah perpaduan kaum. Oleh itu, penulisan Tun ini sangat berguna untuk menjawab persoalan yang sering ditimbulkan ketika itu seperti mengapa dasar negara digubal demikian rupa, apakan tujuannya persamaan kaum dicipta dan apakah kesan dilema Melayu pada masyarakat Melayu hari ini. Buku ini juga telah mengajar pembaca tentang corak perkauman di Malaysia dan sikap orang Melayu. Pemahaman dan penerimaan ini juga sangat penting bagi memupuk perpaduan kaum di Malaysia. Buku ini sesuai dijadikan bahan pelajaran kepada semua rakyat di Malaysia tentang perpaduan dan perkauman. Buku ini juga bukanlah untuk mematahkan dan melemahkan semangat orang Melayu, sebaliknya ini adalah medium untuk memupuk kesedaran dan kerjasama antara orang Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan