Jumaat, 11 April 2014

ULASAN BUKU "ISLAM DEMOKRASI DAN HAK ASASI MANUSIA " SAARI SUNGIB

Islam Demokrasi dan Hak Asasi Manusia merupakan buku penulisan Saari Sungib yang diterbitkan oleh Kemilau Publika Sdn. Bhd untuk cetakan pertamanya pada tahun 2011. Buku setebal 215 muka surat ini adalah suatu percubaan untuk mengupas secara perbandingan prinsip dan konsep hak asasi manusia daripada perspektif Islam dan Barat. Penulis memuatkan dua bahagian di dalam buku ini bagi menjelaskan isu hak asasi manusia di peringkat global dan kebangsaan. Bahagian I memfokuskan kepada isu Islam dan hak asasi manusia secara umum manakala bahagian II pula memfokuskan isu pencabulan hak asasi manusia di Malaysia. Buku ini telah mengetengahkan secara ringkas tetapi menyeluruh asas-asas demokrasi, masyarakat madani dan hak asasi manusia daripada perspektif ahli-ahli falsafah Barat terkenal seperti Locke, Spinoza, Montesquieu, Voltaire, Rousseau, Emanuel Kant, Jeremy Bentham dan John Stuart Mill berbanding ulama dan fuqaha Islam tersohor seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal. Buku yang mengandungi 37 bab ini dilengkapkan dengan 10 bab kes-kes pencabulan hak asasi manusia di Malaysia khususnya ISA dan selebihnya isu pencabulan hak asasi manusia. Isu yang diketengahkan dalam buku ini sangat berkait rapat dengan pengalaman dan pengetahuan penulis sendiri. Beliau dilahirkan di Dengkil pada tahun 1957. Beliau merupakan pelajar pintar Selangor dan telah melanjutkan pelajaran ke United Kingdom. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Mekanikal dan Bahan dengan kepujian dari University of Aston in Birmingham, Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA with distinction) dari University of Hull serta Diploma (Lepasan Ijazah) Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau pernah ditahan di bawah ISA kali pertama pada 12 Oktober 1998 dan kali kedua pada 10 April 2001. Semasa ditahan di Kem Kamunting, dalam tempoh dua tahun Saari telah menulis dan menerbitkan lapan buah buku siri “Suara Dari Kamunting” dan empat buah “Siri Mansuhkan ISA”. Beliau bebas dari Kem Kamunting pada 1 Jun 2003. Anak jati Selangor ini telah menulis lebih 30 buah buku yang berkisar persoalan dakwah, reformasi masyarakat dan hak asasi manusia. Beliau juga menulis di majalah, akhbar-akhbar alternatif dan di internet mengenai isu-isu semasa dan pandangan-pandangan bagi memperbaiki kepincangan masyarakat. Ketokohan beliau juga terserlah sebagai seorang tokoh agama dan tokoh masyarakat. Kini beliau menyandang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di Hulu Klang. Ulasan Buku. Bahagian I : Islam dan Hak Asasi Manusia. Penulis telah memuatkan 27 bab dalam Bahagian I ini. Secara keseluruhannya, bahagian satu ini mempunyai empat persoalan yang berkisar tentang perundangan hak asasi manusia dalam mencari hak persamaan dan keadilan sosial. Persoalan pertama tentang kekuatan kuasa barat mempengaruhi fungsi hak asasi manusia. Persoalan kedua tentang prinsip hak asasi manusia dalam Sahifah Madinah. Persoalan ketiga dan keempat pula tentang hak asasi manusia menurut perspektif Islam dan Barat dan percanggahan keduanya. Penyusunan dan penekanan idea dalam buku ini mengetengahkan kerelevanan penilaian terhadap perundangan hak asasi manusia ciptaan Barat yang berat sebelah. Misalnya dalam bab 1: Kuasa Politik dan Isu Hak Asasi Manusia, penulis telah menjelaskan tentang permainan kuasa Barat seperti Amerika dan Israel yang menggunakan hak asasi manusia sebagai modal mencerobohi urusan negara lain seperti Iran dan Palestine. Contohnya, Amerika yang mengugut dan mempersoalkan program penyelidikan senjata nuclear Iran atas alasan keamanan dan anti keganasan tidak relevan sama sekali buat negara Islam tersebut. Hal ini kerana kebanyakan negara Barat yakni Amerika dan Israel sendiri mempunyai senjata nuclear. Malahan negara berkuasa tersebut turut bertindak menyalahi piawaian Universal Declaration Of Human Right (UDHR) dengan melakukan kekejaman di Somalia, Sudan, Iraq, Palestine dan Afghanistan. Oleh itu, terlalu banyak ketirisan yang dilakukan oleh Barat dalam menjaga hak asasi manusia tetapi mereka masih mampu menuding jari ke arah negara Islam khususnya melontarkan pelbagai pertuduhan dan mula mencampur tangan. Namun begitu, ketirisan ini tidak mampu dibendung oleh mana-mana kuasa dunia termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ekoran daripada pengaruh dan kehebatan Amerika dan Israel itu. Hampir kesemua negara akur demi kepentingan ekonomi, politik dan sosial. Malaysia juga pernah melanggar piawaian UDHR melalui kewujudan ISA. Sebagai seorang yang pernah menjadi tahanan untuk sekian tahun, penulis tidak bersetuju dengan kewujudan ISA di Malaysia yang mempunyai sistem penahanan yang kejam dan mengaibkan. Selain itu, pengaruh kuasa Barat turut mempengaruhi hak kesejahteraan beragama. Misalnya dalam bab 3: Hak Asasi Manusia dan Dialog Peradaban, penulis telah mengkritik tindakan negara-negara Eropah yang tidak menghormati dialog Convivencia yang menekankan tentang perakuan terhadap kemuliaan Nabi Muhammad s.a.w. terdapat beberapa negara barat yang menghina baginda melalui karikatur dan kenyataan yang berniat sedemikian. Namun begitu, tiada tindakan yang serius diberikan kepada pihak terbabit meskipun terdapat banyak undang-undang tentang penghinaan agama di negara mereka. Oleh itu, kuasa sesebuah negara itu menggugat fungsi hak asasi sejagat yang telah digariskan. Hal ini menjadikan UDHR tidak layak dipandang sebagai perundangan yang boleh menegakkan keadilan sosial. Persoalan seterusnya yang dirakam oleh penulis dalam buku ini adalah tentang Sahifah Al- Madinah yang telus dan layak menjadi teras prinsip hak asasi manusia sejagat. Perisytiharan Sahifah Al- Madinah oleh Rasulullah s.a.w. bersama kaum Ansar, Muhajirin dan beberapa kabilah di Madinah telah menjadi teras kesepaduan negara majmuk ketika itu. Kesempurnaan kandungan piagam Madinah itu diterima sebagai hak asasi manusia pertama di dunia misalnya dalam artikel 25 dan artikel 45 piagam itu ada menyebut tentang jaminan keselamatan dan dibolehkan beramal dengan ajaran agama kepada semua. Piagam ini juga adalah kontrak sosial pertama di dunia. Hal ini sangat jauh berbeza dengan perisytiharan hak asasi manusia tajaan Barat yang tidak mengandungi unsur spiritual serta hanya dijadikan retorik demi mengekalkan dominasi dan hegemoni kuasa besar mereka itu. Pertikaian terhadap hak asasi manusia ciptaan barat telah digambarkan oleh penulis dalam selanjutnya dengan mengkritik ketulenan UDHR. Hakikatnya, UDHR adalah hasil ubahsuai yang dilakukan oleh pertubuhan PBB daripada beberapa sumber seperti Magna Carta, Bill of Right, Revolusi Perancis dan Revolusi Amerika. Kesemua sumber berkenaan tercetus atas sejarah yang tidak berpihak kepada hak asasi manusia. Misalnya Magna Carta pada asalnya diwujudkan atas dasar mengekang kuasa raja, Revolusi Perancis dan Revolusi Amerika pula untuk golongan yang berkuasa. Hal ini menunjukkan UDHR tidak bersifat universal sedangkan prinsip hak asasi yang perlu diguna pakai oleh negara Islam mestilah berlandaskan Al-Quran dan Sunah. Hak asasi manusia ciptaan Barat pula tidak mengambil soal dosa dan pahala serta tiada terikat pada lembaran suci. Contohnya isu LGBT yang diterima oleh masyarakat Barat sangat bertentangan dengan akidah dan norma masyarakat Islam. Percanggahan ini menjadikan perundangan hak asasi yang menjadi paksi dunia hari ini, UDHR tidak relevan. Persoalan seterusnya, penulis telah menjelaskan bagaimana perkembangan hak asasi manusia perspektif Islam menerusi perjuangan tokoh dan sarjana Islam seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal menerusi bab 6,7,8, dan 9. Sumbangan keempat-empat tokoh tersebut bukan hanya dalam bidang fiqh dan mazhab tetapi imam –imam besar ini adalah pengasas dan pejuang hak asasi manusia dalam Islam. Tokoh ilmuwan ini turut menitikberatkan isu musyawarah dalam sistem berpolitik sejajar dengan pentadbiran acuan Rasulullah s.a.w. Imam Abu Hanifah misalnya telah memperjuangkan konsep musyawarah menerusi kitabnya Fiqh Al- Akbar dan fatwanya. Beliau menegaskan bahawa hak bersuara melalui musyawarah wajar dipertahankan sehingga beliau dipenjarakan oleh pemerintah sezaman itu atas percanggahan idea dengan pemerintah. Namun begitu, usaha ke arah menegakkan konsep hak asasi dalam politik Islam tidak terhenti di situ, sebaliknya disambung oleh imam-imam seterusnya. Penulis kemudiannya menjelaskan perjuangan Imam Abu Hanifah dalam mewujudkan masyarakat madani dengan pelaksanaan Amar Makruf dan Nahi Mungkar. Konsep ini penting diaplikasikan dalam semua peringkat masyarakat sama ada pada golongan pemerintah atau diperintah demi melahirkan sebuah masyarakat yang madani. Berdasarkan kitab beliau Al-Muwatta’ beberapa prinsip kemanusiaan telah digariskan buat panduan umat contohnya kewajipan pemerintah memberi jaminan bersuara dan bertindak di tengah-tengah kezaliman pemerintah yang cuba membolot kuasa. Perjuangan menuntut hak bersuara diteruskan oleh Imam Syafie melalui cetusan ilmu-ilmu baru seperti ilmu mengkritik hadis Ilmu Jarh Wat-Ta’dil dan ilmu yang berkonsepkan hanya Al-Quran boleh membatalkan bahagian Al-Quran yang lain., An-Nasikh Wal- Mansuh. Pendekatan ilmu baru ini menggambarkan ketegasan beliau menegakkan hak bersuara demi kebenaran dan tidak bercanggah dengan Al-Quran, As-Sunah, Al-Qiyas dan Al-Ijma’. Begitu juga perjuangan yang ditonjolkan oleh Imam Ahmad yang di penjara dan dirantai oleh pemerintah yang kejam tatkala menegakkan kebenaran. Namun berkat kesabaran, masyarakat sivil berjaya dikembangkan pada zaman beliau. Dalam bab 10 hingga 14, penulis telah mengutarakan perkembangan pemikiran Barat terhadap hak asasi manusia. Jika dituruti susur-galur demokrasi dari sumber-sumber asal pemikiran John Locke, Spinoza, Montesquieu, Voltaire, Rousseau, Jeremy Bentham, Immanuel Kant dan John Stuart Mill, perbezaan di antara Islam dan demokrasi adalah umpama langit dengan bumi. Akar-umbi demokrasi adalah penolakan terhadap gereja, konsep ketuhanan serta peranan agama dalam kehidupan sosio-ekonomi dan politik kolektif. Demokrasi adalah manifestasi kolektif amalan politik yang dicapai melalui kontrak sosial para pendukung falsafah dan ideologi Liberalisme. Liberalisme berpaksi kepada sistem kepercayaan Materialisme yang menegaskan bahawa nothing exists beyond matter. Dengan itu apa yang tidak dapat dilihat, disentuh dan ditanggapi adalah tidak wujud. Konsep ketuhanan dan kehidupan beragama tidak termasuk dalam kontrak sosial yang berpaksikan Liberalisme. Doktrin dan dogma sentuhan barat ini membawa kelompok masyarakat dunia jauh dari agama ketika kuasa besar ini mengaplikasikan prinsip mereka di tanah jajahan. Rentetan daripada itu, wujud pelbagai konsep yang bertunjangkan akal bukan al-Quran dan Sunah. Misalnya, John Locke dengan pemikiran kerajaan sivil dan menjadikan kuasa raja juga di tangan rakyat. Spinoza pula mengembangkan pemikiran rasionalis liberalnya dan menganggap tuhan tidak wujud. Montesquieu pula memperjuangkan hak asasi tanpa batas dan meletakkan agama sebagai peranan kecil dalam kehidupan. Beliau memperkenalkan undang-undang sivil yang tidak berpaksi kepada agama serta konsep pengasingan kuasa. Seterusnya, Voltaire dan Rousseau pula meminggirkan agama dan memperjuangkan konsep kedaulatan rakyat yang bercanggahan dengan nilai dan norma masyarakat madani. Demokrasi liberal ciptaan Barat ini memberi hak kebebasan manusia seluas-luasnya kepada akal fikiran. Montesquieu menegaskan bahawa undang-undang tidak perlu mengambil kira kesalahan-kesalahan yang dilakukan terhadap Tuhan. Individu dalam demokrasi hanya patuh kepada undang-undang yang digubal di atas kedaulatan suara majoriti. Bentham pula dengan doktrin maximum felicitas atau greatest happiness for the greatest number menegaskan bahawa suatu undang-undang itu dianggap baik dan buruk bergantung sejauh mana ia membawa kegembiraan kepada seramai mungkin bilangan manusia. Islam menghargai akal fikiran manusia. Islam juga menghormati suara rakyat. Tetapi Islam tidak meletakkan akal fikiran manusia sebagai mutlak dan kemuncak. Islam juga tidak memperakui kekeramatan suara rakyat sebagai kedaulatan yang hakiki. Hal ini kerana fitrah manusia yang akal terbatas dan tidak pernah puas menjadikan masyarakat madani perlu dikawal oleh paksi yang mutlak seperti al-Quran dan Sunah. Hak asasi manusia yang dipelihara mengikut pandangan Islam juga dimuatkan dalam penulisan beliau pada bab seterusnya. Dalam Khutbah Al-Wada’ Rasulullah s.a.w. ada menyatakan beberapa perlindungan umat manusia terhadap harta mereka, jiwa mereka, agama mereka, amanah mereka, keselamatan dan hak dalam amalan berkeluarga. Maka dengan itu, Khutbah tersebut boleh dianggap sebagai perisytiharan hak asasi manusia yang bersifat kolektif. Islam mempunyai banyak sumber yang menegakkan hak asasi manusia termasuklah undang-undang Allah di dalam Al Quran. Oleh itu, prinsip kesamarataan dan keadilan sosial dalam Islam wujud contohnya Islam menolak penahanan tanpa bicara demi keadilan yang hakiki. Islam juga mementingkan kesamarataan tanpa mengira ras dan kaum melalui konsep kemuliaan insan, Islam bersaudara dan kesatuan umat manusia. Islam juga melindungi hak pekerja, hak wanita, hak berkeluarga, hak golongan minoriti dan asas-asas solidarity masyarakat. Berdasarkan Khutbah Al-Wada’ dan Sahifah Madinah, terdapat sepuluh prinsip hak asasi manusia dalam Islam yang perlu dijadikan teras pembinaan negara Islam. Antaranya adalah berkaitan dengan keagungan perintah Allah yang tiada perundangan boleh mengatasinya, ketaatan kepada pemerintah yang taat kepada Allah, prinsip keyakinan pemerintah, bertindak atas kebenaran, mengamalkan konsep Amar Makruf dan Nahi Mungkar, menegakkan prinsip kesamarataan, melindungi harta benda dan nyawa. Buku ini juga ada menyentuh tentang percanggahan yang wujud antara hak asasi manusia berteraskan Islam dan Barat. Antaranya adalah UDHR dan UIDHR. Kedua-dua kod ini membawa penentangan yang nyata. Hak asasi dalam UDHR mementingkan demokrasi yang liberal dan kewujudannya berpaksi kepada akal dan nafsu yang lemah. Bagi penulis hak asasi manusia ciptaan barat bertujuan untuk meraih kebebasan individu tetapi hak asasi manusia berlunaskan syariat bertujuan untuk membawa kesejahteraan seluruh umat manusia. Ciri-ciri UDHR yang membawa penentangan kepada UIDHR adalah seperti prinsip utilitarianisme, sekularisme dan kebebasan tanpa batasan menyebabkan keseimbangan masyarakat tidak tercapai. Reaksi dunia Islam terhadap UDHR pula menunjukkan penentangan. Sehingga wujud kebangkitan wacana Islam semasa membina kerangka UIDHR sebagai respond kepada UDHR. UIDHR dibentuk untuk mengimbangi peruntukan hak asasi manusia bersandarkan syariah dan hukum Allah. Kesimpulannya, bahagian satu ini telah menjurus kepada isu hak asasi manusia secara global yang meliputi pengaruh kuasa barat terhadap fungsi hak asasi manusia, pengaruh Sahifah Madinah sebagai asas pembentukan hak asasi Islam. Kemudian penulis turut menganalisis perkembangan hak asasi manusia menurut perspektif Islam dan Barat serta percanggahan keduanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan