Jumaat, 11 April 2014

ULASAN BUKU "ISLAM DEMOKRASI DAN HAK ASASI MANUSIA " SAARI SUNGIB

Islam Demokrasi dan Hak Asasi Manusia merupakan buku penulisan Saari Sungib yang diterbitkan oleh Kemilau Publika Sdn. Bhd untuk cetakan pertamanya pada tahun 2011. Buku setebal 215 muka surat ini adalah suatu percubaan untuk mengupas secara perbandingan prinsip dan konsep hak asasi manusia daripada perspektif Islam dan Barat. Penulis memuatkan dua bahagian di dalam buku ini bagi menjelaskan isu hak asasi manusia di peringkat global dan kebangsaan. Bahagian I memfokuskan kepada isu Islam dan hak asasi manusia secara umum manakala bahagian II pula memfokuskan isu pencabulan hak asasi manusia di Malaysia. Buku ini telah mengetengahkan secara ringkas tetapi menyeluruh asas-asas demokrasi, masyarakat madani dan hak asasi manusia daripada perspektif ahli-ahli falsafah Barat terkenal seperti Locke, Spinoza, Montesquieu, Voltaire, Rousseau, Emanuel Kant, Jeremy Bentham dan John Stuart Mill berbanding ulama dan fuqaha Islam tersohor seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal. Buku yang mengandungi 37 bab ini dilengkapkan dengan 10 bab kes-kes pencabulan hak asasi manusia di Malaysia khususnya ISA dan selebihnya isu pencabulan hak asasi manusia. Isu yang diketengahkan dalam buku ini sangat berkait rapat dengan pengalaman dan pengetahuan penulis sendiri. Beliau dilahirkan di Dengkil pada tahun 1957. Beliau merupakan pelajar pintar Selangor dan telah melanjutkan pelajaran ke United Kingdom. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Mekanikal dan Bahan dengan kepujian dari University of Aston in Birmingham, Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA with distinction) dari University of Hull serta Diploma (Lepasan Ijazah) Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau pernah ditahan di bawah ISA kali pertama pada 12 Oktober 1998 dan kali kedua pada 10 April 2001. Semasa ditahan di Kem Kamunting, dalam tempoh dua tahun Saari telah menulis dan menerbitkan lapan buah buku siri “Suara Dari Kamunting” dan empat buah “Siri Mansuhkan ISA”. Beliau bebas dari Kem Kamunting pada 1 Jun 2003. Anak jati Selangor ini telah menulis lebih 30 buah buku yang berkisar persoalan dakwah, reformasi masyarakat dan hak asasi manusia. Beliau juga menulis di majalah, akhbar-akhbar alternatif dan di internet mengenai isu-isu semasa dan pandangan-pandangan bagi memperbaiki kepincangan masyarakat. Ketokohan beliau juga terserlah sebagai seorang tokoh agama dan tokoh masyarakat. Kini beliau menyandang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di Hulu Klang. Ulasan Buku. Bahagian I : Islam dan Hak Asasi Manusia. Penulis telah memuatkan 27 bab dalam Bahagian I ini. Secara keseluruhannya, bahagian satu ini mempunyai empat persoalan yang berkisar tentang perundangan hak asasi manusia dalam mencari hak persamaan dan keadilan sosial. Persoalan pertama tentang kekuatan kuasa barat mempengaruhi fungsi hak asasi manusia. Persoalan kedua tentang prinsip hak asasi manusia dalam Sahifah Madinah. Persoalan ketiga dan keempat pula tentang hak asasi manusia menurut perspektif Islam dan Barat dan percanggahan keduanya. Penyusunan dan penekanan idea dalam buku ini mengetengahkan kerelevanan penilaian terhadap perundangan hak asasi manusia ciptaan Barat yang berat sebelah. Misalnya dalam bab 1: Kuasa Politik dan Isu Hak Asasi Manusia, penulis telah menjelaskan tentang permainan kuasa Barat seperti Amerika dan Israel yang menggunakan hak asasi manusia sebagai modal mencerobohi urusan negara lain seperti Iran dan Palestine. Contohnya, Amerika yang mengugut dan mempersoalkan program penyelidikan senjata nuclear Iran atas alasan keamanan dan anti keganasan tidak relevan sama sekali buat negara Islam tersebut. Hal ini kerana kebanyakan negara Barat yakni Amerika dan Israel sendiri mempunyai senjata nuclear. Malahan negara berkuasa tersebut turut bertindak menyalahi piawaian Universal Declaration Of Human Right (UDHR) dengan melakukan kekejaman di Somalia, Sudan, Iraq, Palestine dan Afghanistan. Oleh itu, terlalu banyak ketirisan yang dilakukan oleh Barat dalam menjaga hak asasi manusia tetapi mereka masih mampu menuding jari ke arah negara Islam khususnya melontarkan pelbagai pertuduhan dan mula mencampur tangan. Namun begitu, ketirisan ini tidak mampu dibendung oleh mana-mana kuasa dunia termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ekoran daripada pengaruh dan kehebatan Amerika dan Israel itu. Hampir kesemua negara akur demi kepentingan ekonomi, politik dan sosial. Malaysia juga pernah melanggar piawaian UDHR melalui kewujudan ISA. Sebagai seorang yang pernah menjadi tahanan untuk sekian tahun, penulis tidak bersetuju dengan kewujudan ISA di Malaysia yang mempunyai sistem penahanan yang kejam dan mengaibkan. Selain itu, pengaruh kuasa Barat turut mempengaruhi hak kesejahteraan beragama. Misalnya dalam bab 3: Hak Asasi Manusia dan Dialog Peradaban, penulis telah mengkritik tindakan negara-negara Eropah yang tidak menghormati dialog Convivencia yang menekankan tentang perakuan terhadap kemuliaan Nabi Muhammad s.a.w. terdapat beberapa negara barat yang menghina baginda melalui karikatur dan kenyataan yang berniat sedemikian. Namun begitu, tiada tindakan yang serius diberikan kepada pihak terbabit meskipun terdapat banyak undang-undang tentang penghinaan agama di negara mereka. Oleh itu, kuasa sesebuah negara itu menggugat fungsi hak asasi sejagat yang telah digariskan. Hal ini menjadikan UDHR tidak layak dipandang sebagai perundangan yang boleh menegakkan keadilan sosial. Persoalan seterusnya yang dirakam oleh penulis dalam buku ini adalah tentang Sahifah Al- Madinah yang telus dan layak menjadi teras prinsip hak asasi manusia sejagat. Perisytiharan Sahifah Al- Madinah oleh Rasulullah s.a.w. bersama kaum Ansar, Muhajirin dan beberapa kabilah di Madinah telah menjadi teras kesepaduan negara majmuk ketika itu. Kesempurnaan kandungan piagam Madinah itu diterima sebagai hak asasi manusia pertama di dunia misalnya dalam artikel 25 dan artikel 45 piagam itu ada menyebut tentang jaminan keselamatan dan dibolehkan beramal dengan ajaran agama kepada semua. Piagam ini juga adalah kontrak sosial pertama di dunia. Hal ini sangat jauh berbeza dengan perisytiharan hak asasi manusia tajaan Barat yang tidak mengandungi unsur spiritual serta hanya dijadikan retorik demi mengekalkan dominasi dan hegemoni kuasa besar mereka itu. Pertikaian terhadap hak asasi manusia ciptaan barat telah digambarkan oleh penulis dalam selanjutnya dengan mengkritik ketulenan UDHR. Hakikatnya, UDHR adalah hasil ubahsuai yang dilakukan oleh pertubuhan PBB daripada beberapa sumber seperti Magna Carta, Bill of Right, Revolusi Perancis dan Revolusi Amerika. Kesemua sumber berkenaan tercetus atas sejarah yang tidak berpihak kepada hak asasi manusia. Misalnya Magna Carta pada asalnya diwujudkan atas dasar mengekang kuasa raja, Revolusi Perancis dan Revolusi Amerika pula untuk golongan yang berkuasa. Hal ini menunjukkan UDHR tidak bersifat universal sedangkan prinsip hak asasi yang perlu diguna pakai oleh negara Islam mestilah berlandaskan Al-Quran dan Sunah. Hak asasi manusia ciptaan Barat pula tidak mengambil soal dosa dan pahala serta tiada terikat pada lembaran suci. Contohnya isu LGBT yang diterima oleh masyarakat Barat sangat bertentangan dengan akidah dan norma masyarakat Islam. Percanggahan ini menjadikan perundangan hak asasi yang menjadi paksi dunia hari ini, UDHR tidak relevan. Persoalan seterusnya, penulis telah menjelaskan bagaimana perkembangan hak asasi manusia perspektif Islam menerusi perjuangan tokoh dan sarjana Islam seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal menerusi bab 6,7,8, dan 9. Sumbangan keempat-empat tokoh tersebut bukan hanya dalam bidang fiqh dan mazhab tetapi imam –imam besar ini adalah pengasas dan pejuang hak asasi manusia dalam Islam. Tokoh ilmuwan ini turut menitikberatkan isu musyawarah dalam sistem berpolitik sejajar dengan pentadbiran acuan Rasulullah s.a.w. Imam Abu Hanifah misalnya telah memperjuangkan konsep musyawarah menerusi kitabnya Fiqh Al- Akbar dan fatwanya. Beliau menegaskan bahawa hak bersuara melalui musyawarah wajar dipertahankan sehingga beliau dipenjarakan oleh pemerintah sezaman itu atas percanggahan idea dengan pemerintah. Namun begitu, usaha ke arah menegakkan konsep hak asasi dalam politik Islam tidak terhenti di situ, sebaliknya disambung oleh imam-imam seterusnya. Penulis kemudiannya menjelaskan perjuangan Imam Abu Hanifah dalam mewujudkan masyarakat madani dengan pelaksanaan Amar Makruf dan Nahi Mungkar. Konsep ini penting diaplikasikan dalam semua peringkat masyarakat sama ada pada golongan pemerintah atau diperintah demi melahirkan sebuah masyarakat yang madani. Berdasarkan kitab beliau Al-Muwatta’ beberapa prinsip kemanusiaan telah digariskan buat panduan umat contohnya kewajipan pemerintah memberi jaminan bersuara dan bertindak di tengah-tengah kezaliman pemerintah yang cuba membolot kuasa. Perjuangan menuntut hak bersuara diteruskan oleh Imam Syafie melalui cetusan ilmu-ilmu baru seperti ilmu mengkritik hadis Ilmu Jarh Wat-Ta’dil dan ilmu yang berkonsepkan hanya Al-Quran boleh membatalkan bahagian Al-Quran yang lain., An-Nasikh Wal- Mansuh. Pendekatan ilmu baru ini menggambarkan ketegasan beliau menegakkan hak bersuara demi kebenaran dan tidak bercanggah dengan Al-Quran, As-Sunah, Al-Qiyas dan Al-Ijma’. Begitu juga perjuangan yang ditonjolkan oleh Imam Ahmad yang di penjara dan dirantai oleh pemerintah yang kejam tatkala menegakkan kebenaran. Namun berkat kesabaran, masyarakat sivil berjaya dikembangkan pada zaman beliau. Dalam bab 10 hingga 14, penulis telah mengutarakan perkembangan pemikiran Barat terhadap hak asasi manusia. Jika dituruti susur-galur demokrasi dari sumber-sumber asal pemikiran John Locke, Spinoza, Montesquieu, Voltaire, Rousseau, Jeremy Bentham, Immanuel Kant dan John Stuart Mill, perbezaan di antara Islam dan demokrasi adalah umpama langit dengan bumi. Akar-umbi demokrasi adalah penolakan terhadap gereja, konsep ketuhanan serta peranan agama dalam kehidupan sosio-ekonomi dan politik kolektif. Demokrasi adalah manifestasi kolektif amalan politik yang dicapai melalui kontrak sosial para pendukung falsafah dan ideologi Liberalisme. Liberalisme berpaksi kepada sistem kepercayaan Materialisme yang menegaskan bahawa nothing exists beyond matter. Dengan itu apa yang tidak dapat dilihat, disentuh dan ditanggapi adalah tidak wujud. Konsep ketuhanan dan kehidupan beragama tidak termasuk dalam kontrak sosial yang berpaksikan Liberalisme. Doktrin dan dogma sentuhan barat ini membawa kelompok masyarakat dunia jauh dari agama ketika kuasa besar ini mengaplikasikan prinsip mereka di tanah jajahan. Rentetan daripada itu, wujud pelbagai konsep yang bertunjangkan akal bukan al-Quran dan Sunah. Misalnya, John Locke dengan pemikiran kerajaan sivil dan menjadikan kuasa raja juga di tangan rakyat. Spinoza pula mengembangkan pemikiran rasionalis liberalnya dan menganggap tuhan tidak wujud. Montesquieu pula memperjuangkan hak asasi tanpa batas dan meletakkan agama sebagai peranan kecil dalam kehidupan. Beliau memperkenalkan undang-undang sivil yang tidak berpaksi kepada agama serta konsep pengasingan kuasa. Seterusnya, Voltaire dan Rousseau pula meminggirkan agama dan memperjuangkan konsep kedaulatan rakyat yang bercanggahan dengan nilai dan norma masyarakat madani. Demokrasi liberal ciptaan Barat ini memberi hak kebebasan manusia seluas-luasnya kepada akal fikiran. Montesquieu menegaskan bahawa undang-undang tidak perlu mengambil kira kesalahan-kesalahan yang dilakukan terhadap Tuhan. Individu dalam demokrasi hanya patuh kepada undang-undang yang digubal di atas kedaulatan suara majoriti. Bentham pula dengan doktrin maximum felicitas atau greatest happiness for the greatest number menegaskan bahawa suatu undang-undang itu dianggap baik dan buruk bergantung sejauh mana ia membawa kegembiraan kepada seramai mungkin bilangan manusia. Islam menghargai akal fikiran manusia. Islam juga menghormati suara rakyat. Tetapi Islam tidak meletakkan akal fikiran manusia sebagai mutlak dan kemuncak. Islam juga tidak memperakui kekeramatan suara rakyat sebagai kedaulatan yang hakiki. Hal ini kerana fitrah manusia yang akal terbatas dan tidak pernah puas menjadikan masyarakat madani perlu dikawal oleh paksi yang mutlak seperti al-Quran dan Sunah. Hak asasi manusia yang dipelihara mengikut pandangan Islam juga dimuatkan dalam penulisan beliau pada bab seterusnya. Dalam Khutbah Al-Wada’ Rasulullah s.a.w. ada menyatakan beberapa perlindungan umat manusia terhadap harta mereka, jiwa mereka, agama mereka, amanah mereka, keselamatan dan hak dalam amalan berkeluarga. Maka dengan itu, Khutbah tersebut boleh dianggap sebagai perisytiharan hak asasi manusia yang bersifat kolektif. Islam mempunyai banyak sumber yang menegakkan hak asasi manusia termasuklah undang-undang Allah di dalam Al Quran. Oleh itu, prinsip kesamarataan dan keadilan sosial dalam Islam wujud contohnya Islam menolak penahanan tanpa bicara demi keadilan yang hakiki. Islam juga mementingkan kesamarataan tanpa mengira ras dan kaum melalui konsep kemuliaan insan, Islam bersaudara dan kesatuan umat manusia. Islam juga melindungi hak pekerja, hak wanita, hak berkeluarga, hak golongan minoriti dan asas-asas solidarity masyarakat. Berdasarkan Khutbah Al-Wada’ dan Sahifah Madinah, terdapat sepuluh prinsip hak asasi manusia dalam Islam yang perlu dijadikan teras pembinaan negara Islam. Antaranya adalah berkaitan dengan keagungan perintah Allah yang tiada perundangan boleh mengatasinya, ketaatan kepada pemerintah yang taat kepada Allah, prinsip keyakinan pemerintah, bertindak atas kebenaran, mengamalkan konsep Amar Makruf dan Nahi Mungkar, menegakkan prinsip kesamarataan, melindungi harta benda dan nyawa. Buku ini juga ada menyentuh tentang percanggahan yang wujud antara hak asasi manusia berteraskan Islam dan Barat. Antaranya adalah UDHR dan UIDHR. Kedua-dua kod ini membawa penentangan yang nyata. Hak asasi dalam UDHR mementingkan demokrasi yang liberal dan kewujudannya berpaksi kepada akal dan nafsu yang lemah. Bagi penulis hak asasi manusia ciptaan barat bertujuan untuk meraih kebebasan individu tetapi hak asasi manusia berlunaskan syariat bertujuan untuk membawa kesejahteraan seluruh umat manusia. Ciri-ciri UDHR yang membawa penentangan kepada UIDHR adalah seperti prinsip utilitarianisme, sekularisme dan kebebasan tanpa batasan menyebabkan keseimbangan masyarakat tidak tercapai. Reaksi dunia Islam terhadap UDHR pula menunjukkan penentangan. Sehingga wujud kebangkitan wacana Islam semasa membina kerangka UIDHR sebagai respond kepada UDHR. UIDHR dibentuk untuk mengimbangi peruntukan hak asasi manusia bersandarkan syariah dan hukum Allah. Kesimpulannya, bahagian satu ini telah menjurus kepada isu hak asasi manusia secara global yang meliputi pengaruh kuasa barat terhadap fungsi hak asasi manusia, pengaruh Sahifah Madinah sebagai asas pembentukan hak asasi Islam. Kemudian penulis turut menganalisis perkembangan hak asasi manusia menurut perspektif Islam dan Barat serta percanggahan keduanya.

ULASAN BUKU "DILEMA MELAYU"

Dilema Melayu ("The Malay Dilemma") adalah karya bekas Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ditulis pada 1970. Buku ini pernah menjadi kontroversi suatu ketika dahulu sehingga diharamkan oleh kerajaan. Namun begitu, pengharaman tersebut tamat setelah beliau menjadi Perdana Menteri. Pada 1982, Ibrahim Saad telah menterjemahkan buku ini dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu dan diterbitkan oleh Federal Publication Sdn. Bhd. Buku ini mengandungi 222 halaman bercetak serta mengandungi 11 bab yang membincangkan dilema Melayu. Setiap bab membawa tema yang berlainan. Antara tema yang diketengahkan adalah tentang sikap dan mentaliti orang Melayu, pengaruh keturunan dan alam sekitar ke atas bangsa Melayu, dilema ekonomi Melayu, pengertian persamaan kaum, pemulihan bangsa Melayu dan dilema Melayu, masalah Melayu, tatasusila dan sistem nilai Melayu serta politik perkauman dan parti serta isu Malaysia dan Singapura. Buku ini sangat bermanfaat dan mampu memberi gambaran sebenar tentang konflik yang dihadapi oleh orang Melayu ketika zaman pra kemerdekaan lalu. Bagi menzahirkan pandangan dan kekecewaan penulis ketika itu, beliau telah menulis karya ini dengan harapan dapat memberi kesedaran kepada orang Melayu dan mengajak orang Melayu membuat perubahan sikap dan mentaliti. Menerusi bab 1 yang berjudul “Pendahuluan”, Tun telah mengemukakan beberapa faktor yang mendorong kelemahan orang Melayu dalam pelbagai bidang kehidupan. Misalnya dalam bidang pelajaran, pelajar Melayu agak ketinggalan. (Halaman: 11). Hal ini disebabkan pengaruh keturunan dan alam sekitar, dasar pelajaran, kekurangan kemudahan dan kelemahan guru sendiri. Kesemua faktor tersebut boleh diperbaiki jika masyarakat Melayu mengubah mentaliti mereka. Isu yang sangat ditekankan adalah isu keturunan dan alam sekitar. Pertama, baka orang Melayu yang sejak azali bersifat inferior, sopan santun dan rendah diri menyebabkan bangsa Melayu mudah di manipulasi oleh kaum lain. Kedua, keturunan sangat mempengaruhi potensi generasi yang lahir. Fenomena yang berlaku dalam masyarakat Melayu pula tidak menitikberatkan isu ini. Orang yang cacat dan lemah juga dipaksa berkahwin. Oleh itu, lahirlah generasi yang lemah. Isu ketiga yang diketengahkan adalah perkahwinan seketurunan yang menjadi amalan orang Melayu tidak mampu melahirkan baka yang baik (Halaman : 12) Bab 2, “Di Manakah Silapnya”. Bab ini membincangkan tentang persoalan yang menjadi punca rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Tun memulakan topik dengan pertanyaan di manakah silapnya dan mengakhiri bab dengan frasa di situlah letak silapnya. Oleh itu, Tun telah menerangkan faktor yang mengundang kepincangan perpaduan. Antara faktornya, penjajahan Jepun yang bercorak kuku besi, sikap orang Melayu yang mudah mengalah dan ketidaktelusan pemimpin UMNO yang tidak mengendahkan pendapat rakyat sehingga tercipta jurang yang besar antara kerajaan dan rakyat. Kesemua faktor ini telah mempengaruhi pemikiran rakyat ketika itu. Selain itu, Tun juga ada menceritakan latar belakang hubungan antara kaum di Tanah Melayu sebelum dan selepas merdeka. Bibit-bibit persengketaan dan kecurigaan sebenarnya telah wujud sebelum 1969 namun tidak meruncing kerana dapat dikawal oleh British. Buktinya telah berlaku beberapa peristiwa yang berumbikan sentimen perkauman seperti pergaduhan kaum Melayu dan Cina di Bukit Mertajam pada 1964 dan rusuhan di Pulau Pinang pada 1968. Oleh itu, konflik ekonomi, politik dan sosial ini menjadi punca ketegangan kaum yang berlaku. Bab 3 pula bertemakan “Pengaruh Keturunan dan Alam Sekitar Terhadap Bangsa Melayu”. Keturunan sangat mempengaruhi potensi sesebuah bangsa. Alam sekitar pula berperanan membentuk seseorang. Keturunan dan alam sekitar sangat berkaitan dalam melahirkan generasi baru, (halaman : 32). Mengikut hukum Mandel, sesuatu kelahiran itu akan mewarisi sifat dan ciri daripada ibu bapa mereka terutamanya ciri-ciri yang dominan. Untuk membina ciri positif yang dominan, sesebuah pasangan digalakkan berkahwin dengan pasangan yang tidak ada pertalian darah dengan mereka. Hal ini kerana pasangan yang mempunyai pertalian darah mempunyai ciri dan sifat yang sama. Apabila mereka disatukan, sifat negatif mereka akan menjadi dominan. Oleh itu, perkahwinan dalam kaum keluarga tidak akan menghasilkan zuriat yang baik. (Halaman: 31). Bagi melangsungkan perkembangan baka, manusia perlulah bijak dalam menyesuaikan diri dengan alam sekitar agar penyaluran baka dapat berlaku. Selain itu, bab ini juga membincangkan tentang asal usul keturunan Melayu dan Cina. Tun telah membandingkan semangat yang dibawa oleh kedua-dua kaum tersebut. Orang Melayu yang hidup di kawasan dataran dengan bekalan makanan yang mencukupi dan tidak menghadapi kesulitan sangat berbeza dengan orang Cina yang menjalani kehidupan yang penuh dengan dugaan seperti bencana alam, kekurangan makanan dan peperangan sejak 4000 tahun dahulu. Oleh itu, hanya baka yang kuat dan mampu bertahan sahaja layak meneruskan kehidupan sehingga hari ini. Kedatangan orang Cina di Tanah Melayu saban tahun ketika itu pasti memberi cabaran dan saingan kepada kaum Melayu yang hidup sederhana dan tidak terdedah kepada bahaya. Orang Melayu pula tidak bijak menggunakan peluang untuk mengeksploitasi hasil bumi kerana cenderung dengan kegiatan pertanian padi yang hanya memerlukan usaha keras selama dua bulan untuk menikmati hasil selama setahun. Lantaran itu, sejarah yang perit juga banyak mengajar orang Melayu untuk berusaha keras kerana mereka mulai sedar keselesaan yang dirasai selama ini telah dirampas oleh orang Cina. Kebimbangan orang Melayu ini kemudiannya diselamatkan dalam pergerakan politik. Pelbagai dasar dan kuota dibuat ketika itu. Namun bagi Tun, tanpa peranan politik, besar kemungkinan orang Melayu lebih berusaha dan mampu melahirkan keturunan yang baik. Menerusi bab 4, “Dilema Ekonomi Melayu”, kita boleh memahami dilema Orang Melayu dalam bidang ekonomi ketika itu, di mana bangsa asing mula menjadi sebahagian daripada pelaku ekonomi negara. Kedatangan pedagang Cina sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka telah menggalakkan mereka membuka perniagaan runcit di serata Tanah Melayu. Penglibatan ini nampak lebih berpengaruh selepas kehadiran buruh asing yang dibawa masuk secara pukal zaman British. Mereka mula mengambil alih semua lapangan ekonomi meliputi aktiviti perdagangan, kerja-kerja mahir dan tidak mahir. Ketika zaman British, orang Cina telah memonopoli aktiviti perniagaan sedangkan orang Melayu ramai yang masih bergantung pekerjaan dengan kerajaan. Oleh itu, peralihan pemerintahan daripada British ke Jepun telah menyebabkan ramai orang Melayu dipecat dan hilang punca pendapatan. Bermula daripada itu, orang Melayu mempelajari cara berniaga dan mendapat bantuan kerajaan namun masih tidak dapat menandingi kejayaan orang Cina yang bijak dalam selok-belok perniagaan. Mereka menggunakan rasuah, tipu helah dan tidak akan berniaga dengan orang bukan Cina. Ikatan kekeluargaan dalam perniagaan mereka sangat kuat serta ditambah pula dengan penubuhan dewan perniagaan, gabungan seniaga dan kesetiaan keluarga mengukuhkan lagi kedudukan mereka. Oleh itu, kebanyakan kontrak mega diperoleh mereka ketika penjajahan British. Orang Melayu yang bersikap kurang progresif dan mudah bertolak ansur menyebabkan suara mereka tidak dikemukakan secara terbuka. Sebaliknya sikap mereka yang mahu cepat kaya dan tidak mahu mempelajari kemahiran baru telah menguntungkan orang Cina. Misalannya, mereka sanggup mendagangkan nama mereka kepada orang Cina dengan “mengalibabakan” lesen perniagaan yang diberi kerajaan. Secara keseluruhannya mereka tidak terlibat langsung dengan urusan perniagaan tersebut tetapi mengambil keuntungan yang kecil daripada mereka. Sikap ini akhirnya membawa kesan yang negatif terhadap kek ekonomi negara. Selain itu, orang Melayu juga boleh menerima perubahan dengan menggunakan teknologi moden tetapi tidak berusaha untuk mempelajari cara menghasilkan teknologi tersebut. Oleh itu, banyak sifat negatif orang Melayu telah diulas dalam bab ini. Bab 5 pula dengan judul “Pengertian Persamaan Kaum”. Persamaan kaum bermaksud penerimaan dan perkongsian antara kaum yang mencakupi aspek sosial, politik dan ekonomi. Persoalan perkauman ini adalah isu yang sering dipertikai oleh negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia dan lain negara di dunia. Lantaran itu, negara terbabit perlu menggunakan kuasa undang-undang dan diskriminasi tertentu untuk mengimbangi konflik ini. Sungguhpun begitu, isu ini amat sukar untuk diselesaikan. Hal ini dapat dilihat dalam tindakan Amerika Syarikat yang mengenakan diskriminasi sosial dan ekonomi terhadap kaum negro di sana. Tindakan mereka memulau kaum Negro telah mewujudkan jurang antara mereka. Apabila kaum Negro memasuki sesebuah kawasan penempatan, orang kulit putih akan berpindah keluar beramai-ramai sehingga kawasan itu menjadi penempatan kaum Negro sahaja. Selain itu, kaum Red Indian di Amerika juga mengalami nasib yang sama. Walaupun mereka penduduk asli benua itu, namun kelemahan mereka menyebabkan tanah mereka dirampas. Fenomena ini juga berlaku di Malaysia. Perbezaan status ekonomi antara orang Melayu dan orang Cina memerlukan tindakan undang - undang untuk disetarakan kedudukan itu kembali. Antaranya adalah dengan mewujudkan Undang-Undang Tanah Simpanan Melayu, Hak keistimewaan Melayu dan Ketuanan Raja-Raja Melayu. Namun begitu, dilema yang dialami oleh orang Melayu zaman penjajahan mendesak tanah mereka diperdagangkan misalnya mereka berhutang dengan mencagarkan tanah dan pergantian tanah lombong Melayu dengan tanah hutan yang tidak bernilai seperti yang dinyatakan oleh Tun. “Dapat dirumuskan bahawa dari segi penaksiran sebenar, orang bukan Melayu mempunyai tanah yang lebih berharga di kawasan bandar dan tanah yang mengeluarkan hasil yang lebih baik, sebenarnya berada dalam kedudukan yang istimewa. Dengan kata lain, walaupun wujud undang-undang tanah simpanan Melayu, orang Melayu dianggap sebagai tuan tanah kelas kedua.” (Halaman 91) Selain itu, kuota dalam pelajaran, biasiswa dan perkhidmatan kerajaan juga diberi kepada orang Melayu untuk menyamakan kedudukan orang Melayu dengan kaum lain. Namun begitu hal ini tidak semudah mana untuk diselesaikan kerana undang-undang dan dasar kerajaan ini gagal menyelamatkan ekonomi orang Melayu. Sebaliknya orang Melayu telah dipulaukan oleh orang Cina dalam bidang perniagaan. Orang Cina tidak mahu mengupah orang Melayu dalam perusahaan mereka dan mendakwa orang Melayu tidak bijak berniaga. Orang Melayu hanya menjawat jawatan yang tidak membawa kepada pengalaman dalam bidang perniagaan seperti pemandu peribadi dan penarik beca. Diskriminasi secara halus ini menyebabkan orang Melayu tidak mampu kekal di bandar. Persoalan kedua yang diketengahkan oleh Tun adalah mengapa orang Melayu tinggal di kampung dan mundur sedangkan orang bukan Melayu tinggal di bandar yang maju. Hal ini kerana sikap perkauman yang membawa corak sosial ini terbentuk. Orang Melayu bersifat santai dan toleransi sedangkan orang Cina pula rajin bekerja dan licik. Pendidikan yang bertaraf cemerlang di bandar telah melahirkan ramai golongan profesional daripada kaum bukan Melayu. Taraf pendidikan di kawasan luar bandar pula tidak setanding dengan kawasan bandar yang mempunyai sistem tradisi yang kian lama diamalkan. Oleh itu, peluang pekerjaan yang layak mereka ceburi juga semakin kecil dan hanya mengharapkan kuota penjawat awam. Lama-kelamaan sistem kuota ini dibuka juga kepada orang bukan Melayu dan memberi saingan kepada orang Melayu. Diskriminasi yang dikenakan juga tidak boleh dijamin sepanjang zaman. Oleh itu orang Melayu perlu mengubah sifat yang bersantai kepada lebih peka dan sensitif terhadap hak mereka agar lebih sepadan dengan sifat orang Cina. Bab 6 pula membincangkan tentang “Asas-Asas Perpaduan Kebangsaan”. Elemen yang menjadi asas pembinaan negara bangsa adalah bahasa, agama, budaya dan simbol-simbol negara seperti raja, perlembagaan, rukun negara, lagu kebangsaan, bendera dan undang-undang negara. Elemen tersebut juga merupakan alat perpaduan kebangsaan apabila rakyat sanggup berkongsi bahasa, budaya, dan agama serta tinggal dalam wilayah yang sama. Namun begitu, usaha mencapai perpaduan tidak semudah itu. Terutamanya negara yang mempunyai masyarakat majmuk. Mereka perlu menggunakan pelbagai cara membentuk asas perpaduan yang kukuh. Dalam bab ini, Tun telah mengambil contoh negara yang bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, Amerika Syarikat dan Switzerland dalam melahirkan asas perpaduan masing-masing. Amerika Syarikat telah menerima kedatangan buruh asing daripada pelbagai negara pada abad ke 19 dan 20. Mereka juga dituntut untuk mempelajari bahasa Inggeris dan mewajibkan bahasa itu digunakan dalam pertuturan di Amerika. Dasar ini telah diterima oleh mereka. Lama-kelamaan, bahasa ibunda pendatang tersebut lenyap selepas satu generasi. Penyatuan bahasa ini menjadi alat yang kuat untuk membina perpaduan. Persamaan kebudayaan pula wujud selepas berlaku proses asimilasi budaya antara mereka. Kebudayaan yang dibiarkan berkembang itu akhirnya telah membentuk sebuah kebudayaan kebangsaan. Switzerland pula adalah negara yang dibentuk oleh pelbagai etnik yang menolak krisis politik negara asal. Orang-orang di Switzerland boleh dikatakan tidak suka berpolitik dan suka mengambil sikap berkecuali. Mereka telah membina wilayah mereka sendiri. Sewaktu pilihan raya, tidak ramai yang turut mengundi. (Halaman: 121). Oleh itu, perpaduan negara ini terletak pada kestabilan politik dan sikap keterbukaan mereka. Mereka boleh hidup dalam suasana yang harmoni walaupun menggunakan 4 bahasa rasmi (Perancis, Itali, Jerman dan Inggeris). Kebudayaan mereka juga hampir serupa kerana mereka berketurunan Eropah. Malaysia juga mempunyai asas perpaduan tersendiri. Bahasa Melayu merupakan kunci perpaduan itu (Halaman: 21). Menurut perlembagaan bahasa Melayu yang dijadikan bahasa rasmi perlu dipertuturkan dalam setiap urusan negara. Hal ini sangat penting dalam menjadi alat perpaduan negara. Bab 7, “Pemulihan Bangsa Melayu dan Dilema Melayu”. Dalam bab ini Tun telah mencadangkan beberapa usaha untuk memulihkan kembali dilema yang dihadapi oleh orang Melayu ini. Antara usaha yang dikemukakan dalam bab ini adalah menghendaki orang Melayu berubah dan melalui proses revolusi. Orang Melayu perlu mempertahankan hak dan ketuanan Melayu agar kekal sebagai bangsa jati di tanah ini. Antara ketuanan yang perlu dipertahankan adalah institusi raja-raja Melayu, agama Islam dan adat istiadat Melayu. Ketiga-tiga entiti ini perlu dikekalkan melalui revolusi yang sesuai. Selain itu, usaha untuk membandarkan orang Melayu juga memerlukan proses revolusi yang menyeluruh dari aspek ekonomi, sosial dan politik. Perubahan ini perlu berpihak kepada orang Melayu. Bagi membandarkan orang Melayu, kerajaan perlu menarik golongan tersebut berhijrah ke kawasan bandar yang lengkap dengan kemudahan. Oleh itu, kerajaan perlu memberi peluang pekerjaan kepada orang Melayu agar mereka mendapat jaminan pendapatan yang tetap. Seterusnya, kerajaan perlu menyediakan infrastruktur yang baik agar perhubungan antara kaum boleh berlaku di bandar, membina rumah-rumah kos rendah di bandar, memberi latihan dan kemahiran dalam pelbagai bidang kepada orang Melayu dan memperuntukkan rumah-rumah kedai untuk pengusaha Melayu. Tun juga mencadangkan agar kerajaan sepatutnya mengambil alih projek-projek pembangunan sedikit demi sedikit daripada tangan orang Cina dan Eropah agar peluang ini dapat diceburi oleh orang Melayu (Halaman: 126). Selain itu, orang Melayu juga terus bekerja dalam sektor kerajaan kerana terlalu mementingkan pencen. Hal ini berbeza dengan orang Cina yang bekerja makan gaji untuk menimba pengalaman seterusnya membuka perusahaan sendiri. Oleh itu, bagi menamatkan dilema ini, kerajaan telah mewujudkan skim pencen kekal kepada penjawat awam yang ingin menceburi bidang politik dan lain –lain bidang dalam projek-projek kerajaan. Kumpulan wang simpanan pekerja juga merupakan inisiatif untuk menggalakkan orang Melayu menceburi bidang lain. Tun juga mengesan kelebihan yang dimiliki oleh wanita Melayu yang rajin bekerja lebih masa. Beliau menggalakkan kerajaan memberikan peluang kepada suri rumah untuk menjalankan perniagaan sendiri dengan membina rumah kedai untuk mereka agar dapat menjalankan perniagaan tanpa mengabaikan keluarga. Bab 8 bertemakan “Masalah Melayu”. Dalam bab ini Tun telah mengetengahkan sikap orang Melayu yang bersopan, rendah diri dan sanggup memendam rasa demi menjaga hati dan tatasusila masyarakat sekitarnya. Sungguhpun sikap ini baik, namun tindak balas yang diterima oleh orang Melayu tidak seperti yang diinginkan. Orang Melayu sanggup bertolak ansur dengan kaum lain tetapi bagi mereka tindakan ini adalah kelemahan orang Melayu yang gagal mempertahankan hak mereka telah mendatangkan masalah dalam membina negara bangsa. Selain itu, Tun juga membincangkan tentang hak terhadap negara ini. Setiap pihak mendakwa mereka mempunyai hak dalam negara. Hakikatnya orang Melayu adalah pemilik tunggal tanah air ini. Hal ini kerana pemilik sesebuah negara itu terletak kepada kaum yang mula-mula membina kerajaan. Dakwaan bahawa orang asli adalah pemilik negara ini tidak boleh diterima kerana mereka tidak pula mempunyai sistem kerajaan yang diiktiraf. Sebaliknya orang Melayu telah menghidupkan Tanah Melayu ini sebelum kedatangan penjajah lagi. Tun juga ada memberi beberapa bukti yang menunjukkan Raja-Raja Melayu telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dan layak untuk dikira sebagai sebuah kerajaan. Dakwaan orang Cina dan India yang berhak memiliki negara ini atas alasan mereka turut memajukan negara ini juga tidak relevan. Jika syarat itu dijadikan petunjuk kepada hak memiliki negara, sudah pasti British adalah pihak yang paling berhak menuntut kewarganegaraan. Oleh itu, orang Melayu sebenarnya telah melakukan pengorbanan terbesar dengan berkongsi tanah air ini untuk memakmurkan negara. Ini adalah sumbangan yang tidak boleh dibayar oleh mana-mana pihak sebenarnya. Sebagai penduduk tetap negara ini, orang Melayu berhak memberi syarat kerakyatan kepada pendatang asing ini. Kewarganegaraan ini diberikan sebagai tanda pengiktirafan kesetiaan mereka terhadap tanah Melayu. Sungguhpun kesetiaan ini mudah diakui tetapi sukar dibuktikan. Jika mengikut ketetapan syarat kewarganegaraan negara-negara lain di dunia, pendatang asing ini perlu menyesuaikan diri dengan penduduk tetap dan mengamalkan bahasa dan budaya penduduk tetap agar mereka diterima. Ketegasan orang Melayu dalam mempertahankan hak mereka sangat tipis dan berbeza dengan penduduk tetap di negara lain di dunia. Malaysia pula gagal membentuk rakyat yang homogen. Namun begitu, persamaan kaum boleh dijadikan alat perpaduan. Oleh itu, isu tuntutan dan hak keistimewaan orang Melayu tidak wajar disuarakan kerana terlalu banyak tolak ansur yang diberikan. Masalah yang timbul rentetan daripada rasa tidak puas hati antara kaum perlu diselesaikan dengan segera agar keharmonian boleh dikekalkan. Bab 9 bertemakan “Tatasusila dan Sistem Nilai Melayu”. Dalam bab ini Tun telah menerangkan tentang konsep tatasusila dan sistem nilai yang diamalkan oleh orang Melayu. Menurut Tun, sistem nilai dan tatasusila sangat berkaitan dengan agama Islam. Perkaitan kedua elemen tersebut akan membentuk beberapa nilai yang diamalkan orang Melayu. Antara nilai yang dipegang oleh orang Melayu adalah kesopanan dan ketertiban. Sikap ini menjadikan orang Melayu tidak mahu berterus terang, sukar menetapkan keputusan, terlalu mengangkat orang luar dan terlalu menjaga hati orang lain. Selain itu, Tun juga ada menerangkan beberapa nilai yang diamalkan oleh orang Melayu dalam kehidupan mereka seperti mengutamakan orang tua, bersabar dalam segala hal, tidak menatingkan harta kekayaan, suka menyerah kepada takdir, sifat simpati yang tinggi, memilih untuk hidup sederhana, menghargai nyawa, mengutuk perbuatan membunuh diri, redha dengan kematian, tidak mementingkan masa, tidak mengusai ilmu perniagaan, mementingkan harta tanah dan sangat mementingkan sistem feudal. Bagi Tun pula, tidak kesemua nilai yang diamalkan boleh memajukan orang Melayu. Terdapat nilai dan tatasusila orang Melayu yang menjadi penghalang kepada kemajuan. Oleh itu, orang Melayu perlu mengenal kelemahan dalam budaya masyarakat Melayu dan melakukan perubahan. Bab 10, “Politik Perkauman dan Parti”. Menerusi bab ini, Tun telah mengetengahkan sifat perkauman yang tidak boleh lari dalam aspek kehidupan termasuklah dalam bidang politik. Walaupun konsep bukan perkauman cuba dibawa dalam institusi politik, namun usaha ini dilihat gagal kerana bangsa bukanlah perkara yang mudah untuk dilupakan terutamanya bagi orang Asia. Malaysia mengalami fenomena perkauman sejak zaman British lagi apabila dasar pecah dan perintah dilaksanakan. Ketiga-tiga kaum dipisahkan dalam kancah politik, sosial dan ekonomi. Oleh itu, wujud jurang dan ketidakseimbangan antara mereka. Bagi mencapai kembali keseimbangan itu, undang-undang tertentu perlu dikuatkuasakan sementara politik perkauman perlu dihapuskan. Persoalannya adalah adakah tindakan menghapuskan politik perkauman ini jalan terbaik dalam mewujudkan persamaan dan integrasi. Bagi Tun, politik perkauman bertujuan untuk mencapai persamaan kaum. Apabila persamaan dapat dicipta, maka akan lahir sebuah perpaduan. Bab terakhir pula membincangkan tentang “Malaysia dan Singapura”. Bagi beliau, pemisahan Singapura dan Malaysia adalah tindakan yang tepat kerana Singapura tidak sehaluan dengan negara kita atas perbezaan ideologi dan faktor perkauman. Setiap usaha ke arah kerjasama kedua buah negara itu tidak berakhir dengan baik, sebaliknya kedua negara saling mencemuh. Singapura pula menganggap kerajaan mereka yang tidak demokrasi itu sebagai negara yang hebat. Permusuhan ini membuktikan bahawa penyatuan tidak wajar diwujudkan ketika itu. Namun begitu, sebagai dua buah negara yang berdaulat, hubungan diplomatik perlu diadakan atas faktor tertentu seperti geografi, sejarah, ideologi, asal usul, bahasa dan keselamatan. Kedua–dua negara memerlukan antara satu sama lain. Namun Singapura dilihat lebih memerlukan Malaysia berbanding Malaysia yang memerlukan Singapura. Oleh itu, Malaysia telah mencuba sedaya upaya mengurangkan pergantungan dengan Singapura seperti membina pelabuhan sendiri di Klang, membina sistem pertahanan dan perdagangan luar negeri sendiri. Melalui kefahaman saya, buku ini telah membincangkan pelbagai aspek yang menjadi pendorong dan penghalang kepada kemajuan orang Melayu. Orang Melayu adalah subjek dalam penulisan ini kerana bangsa Melayu adalah penduduk tetap negara yang sedang bergelut dengan dilema ketika itu. Bagi mengatasi kebuntuan ini, kerajaan telah meletakkan syarat dan undang-undang tertentu yang boleh membantu orang Melayu. Namun begitu, negara juga tidak mengabaikan kepentingan kaum lain malahan banyak tolak ansur diberikan kepada mereka. Jika dibandingkan dengan negara lain di dunia, orang Melayu jauh lebih sopan dan sangat menghormati orang luar. Mereka bersikap sederhana dan sangat mengutamakan perasaan orang lain sehingga ditindas oleh kaum pendatang ketika itu. Isu perkauman juga adalah tamparan yang hebat buat negara. Buku ini juga ada menerangkan faktor yang boleh mencetuskan peristiwa 13 Mei 1969 dan beberapa faktor yang menyebabkan kemunduran orang Melayu. Punca yang dikaji ini perlu dicari jalan penyelesaiannya. Oleh itu, Tun turut mencadangkan beberapa idea untuk mengatasi konflik tersebut. Secara keseluruhannya, idea beliau adalah relevan untuk diamalkan pada tahun-tahun tersebut. Kini negara telah mengalami transformasi yang pelbagai dan mula menonjolkan persamaan dan penyamarataan antara kaum. Jika kita membuat perbandingan pada dasar kerajaan hari ini yang memegang konsep satu Malaysia kita dapati telah banyak perubahan dan perkembangan di Malaysia ke arah perpaduan kaum. Oleh itu, penulisan Tun ini sangat berguna untuk menjawab persoalan yang sering ditimbulkan ketika itu seperti mengapa dasar negara digubal demikian rupa, apakan tujuannya persamaan kaum dicipta dan apakah kesan dilema Melayu pada masyarakat Melayu hari ini. Buku ini juga telah mengajar pembaca tentang corak perkauman di Malaysia dan sikap orang Melayu. Pemahaman dan penerimaan ini juga sangat penting bagi memupuk perpaduan kaum di Malaysia. Buku ini sesuai dijadikan bahan pelajaran kepada semua rakyat di Malaysia tentang perpaduan dan perkauman. Buku ini juga bukanlah untuk mematahkan dan melemahkan semangat orang Melayu, sebaliknya ini adalah medium untuk memupuk kesedaran dan kerjasama antara orang Melayu.
hai.. cuti sem tibe lg.. dan walaupun cuti seminggu... sibuk dengan asgmnt.. fie sempat buat kek sponge pandan oren n mash potato for my small family... hehe.. just simple resepi dari tenet jer...

Isnin, 28 Mei 2012

Allah.. jauhkan kami dari kerugian.

Golongan orang yang dirugikan Allah dunia dan Akhirat adalah orang yang hanya taat separuh separuh sahaja. Yakni orang yang beriman tanpa sungguh -sungguh. Jika Allah memberi nikmat kepadanya dia tetap dalam keadannya dan jika Allah mendatangkan musibah dia akan melencong akidah. sesungguhnya mereka dalam kerugian yang nyata. "'surah AL Hajj ayat 11'" Memang ada orang macam nie. Islam atas nama. Jika mendapat ujian hilang pertimbangan. contohnya, (mcm karangan lak ada contoh) Ujian harta - menjadi punca kesombongan ketamakkan,ujian kewangan - minum arak berjudi, ujian keluarga -tidak sabar, menderhaka. Ujian pekse - huhu meniru Semoga kita tidak tergolong dalam lingkungan ini. Analoginya, cuba kita bayangkan kalau kita masuk sesuatu pertandingan untuk menjadi juara kita perlu bersungguh -sungguh. At least dapat tempat pertama, kedua atau ketiga. Kita kena ikut peraturan pertandingan dan sanggup menerima pelbagai syarat pertandingan. Nak menang la katakan. then kte menang dapat hadiah dan habuan. Tp jika kte tak menang kita hanya dapat penat dan kerugian. Memang kita akan dapat pengalaman, tp bermakna ke pengalaman yang kita dapat tanpa berusaha. Mungkin hanya layak di panggil pengajaran. Analogi lain, ada ker majikan yang nak gajikan pekerja yang pemalas, x dengar arahan, dan sambil lewa. wat meluat bos jer an. silap2 lambung kat sungai je.. ada ker isteri atau suami yang nak pasangan yang suka mungkir janji? Bayangkan pula kerenah kita pada pencipta. Allah Maha pengampun. Setiap gerakan kehidupan perlu disertai komitmen dan kesungguhan. Kenyataan ini memang tidak dapat dinafikan. Pentingnya kesungguhan ini harus kita aplikasikan dalam amalan beragama. Insyallah orang yang bersungguh ini pasti mendapat tempat di dunia dan akhirat. Persoalannya sejauhmana usaha kita pada agama yang boleh dilabelkan sebagai umat yang bersungguh-sungguh. Saya sendiri masih sedang mencari kelemahan saya. terlalu banyak untuk dipelajarindan diamalan. Jika hari ini kita hanya solat lima waktu, maka tinggkatkan dengan menghayati makna bacaan solat itu. jika hari ini kita jarang membaca al quran, tingkatkan bacaan setiap hari dengan membaca mahfumnya. Jika hari ini kita kurang bersopan berusahalah menjaga tingkah untuk menjadi orang yang beraklak. Semua ini perlu saya lakukan. Anda bagaimana? Bak kata pepatah, "Alang2 menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lenggan" "alang2 genggam bara api biar sampai jadi abu" "alang2 menjadi Islam biar layak dikasihi yang satu".

Ahad, 27 Mei 2012

PENGGUNA INSAF

Fenomena jual beli yang tidak adil, wujud unsur penipuan dan syubhah perlu dihadapi oleh pengguna secara bijaksana dan berhikmah. Penyelewengan pengusaha ini wujud di mana jua terutama di laman maya. Kelalaian dan kekurangan pengetahuan pengguna telah membenarkan penyelewengan ini berlaku. Pengguna sering melupai hak mereka. Sekiranya ditipu atau tidak berpuas hati dengan pembelian sesuatu barang dan perkhidmatan, pengguna berhak untuk bersuara dan mendapat ganti rugi. Suara–suara pengguna inilah yang akan mengubah kekangan yang berlaku dalam masyarakat sekiranya disampaikan dengan telus dan berkesan. Malangnya pengguna yang tampil membuat aduan dalam konteks masyarakat Malaysia pula amat sedikit dan tidak mampu membina benteng perlindungan yang berkesan untuk tempoh yang panjang. Lantaran itu rakyat harus bangkit membuat aduan setiap kali diperdaya atau ditindas oleh pengeluar dan penjual yang tidak bertanggungjawab. Pengguna boleh merujuk kepada badan organisasi yang melindungi pengguna untuk mendapatkan pendekatan dan pendedahan yang bersesuaian. Oleh itu, penyampaian aduan haruslah berkesan dan efisien agar kemaslahatan ini cepat di rungkai. Merujuk kepada Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) yang berpusat di Petaling Jaya Selangor, pengguna boleh mengemukakan aduan mereka menggunakan pelbagai cara dan etika seperti berikut: a) Tindakan sendiri. Mulakan dengan membuat sedikit protes dengan cara berhenti daripada menggunakan barang dan perkhidmatan yang berkenaan. Jika masalah yang dihadapi melibatkan tuntutan, kita perlu berhadapan dengan penjual secara peribadi untuk mendapatkan penyelesaian. Bersemuka adalah cara yang lebih cepat jika dilakukan dengan bijaksana. Pengguna perlu membawa barang, resit dan bukti pembelian bersama-sama sebagai bukti. b) Aduan melalui telefon. Pengguna juga boleh membuat aduan melalui telefon. Pengguna boleh membuat panggilan untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap barang yang menimbulkan masalah kepada mereka. Kebiasaannya, pengguna akan diminta untuk datang semula ke kedai atau pasar raya yang berkenaan dengan membawa barangan yang terlibat serta sebarang dokumen yang boleh menjadi bukti aduan. Beberapa teknik dan cara yang tepat perlu bagi menghasilkan panggilan yang berkesan. Catatkan nama orang yang telah bercakap dengan kita mengenai aduan itu, tarikh, masa, nombor aduan serta apa yang telah diperkatakan. c) Aduan secara bertulis. Pengguna juga boleh membuat aduan secara bertulis. Ini merujuk kepada surat aduan yang mengandungi butir-butir yang berkaitan aduan kepada penjual. Sekiranya pengguna mempunyai surat jaminan atau waranti, sertakan salinannya bersama-sama surat aduan. d) Tindakan secara kolektif. Pengguna boleh mengambil tindakan secara kolektif dengan mengumpulkan pengguna yang mengalami masalah yang sama untuk membuat aduan kepada pihak yang berkuasa. Pengguna juga boleh menggunakan bantuan media masa untuk dijadikan medium penyampaian aduan mereka seperti akhbar, majalah dan liputan daripada siaran televisyen. Sungguhpun pelbagai cara tersedia untuk dilakukan, pengguna harus bijak mempraktikkan teknik aduan mereka agar lebih berkesan. Oleh itu, teknik pengaduan juga harus diperbaiki agar bersesuaian dengan krisis pengguna. Menurut John Tschohl dalam bukunya Pelanggan Adalah Raja telah menggariskan sepuluh panduan untuk membuat pengaduan yang berkesan. Langkah yang diketengahkan sangat bersesuaian untuk dijadikan panduan serta bertepatan dengan piawaian hak-hak pengguna yang diwartakan oleh kerajaan Malaysia. Pertamanya, pengadu perlu memastikan kes yang diketengahkan mempunyai fakta yang tepat dan lengkap. Pengadu perlu merujuk semula maklumat berkaitan dengan peristiwa yang berlaku seperti tarikh, nama dan lokasi kejadian. Maklumat yang tepat perlu dikumpul dan didokumenkan. Pernyataan yang dikemukakan juga memerlukan bukti dan hendaklah dilampirkan bersama. Antara dokumen tersebut ialah resit, surat jaminan, tarikh, nama penjual dan surat-surat yang berkaitan. Semua dokumen ini amat berguna apabila kita ingin membuat aduan. Selain itu, dokumen yang berkaitan dengan pihak pengadu dan pihak pengusaha seperti maklumat syarikat pengusaha harus diberi kepada agensi yang menerima aduan. Dapatkan nama dan jawatan orang yang berurusan dengan kita bagi mengukuhkan aduan. Terdapat juga pengguna yang peka dengan membuat rakaman ketika mengalami krisis dalam urusan perkhidmatan yang diterima. Langkah ini wajar diteladani dan boleh dijadikan bukti yang kukuh. Sebagai langkah keselamatan, pengguna perlu mewujudkan sebuah dokumen yang berkaitan dengan urusan jual beli. Maklumat yang penting dan berkaitan perlu disimpan dalam fail atau dokumen tersebut agar dapat membantu kita semasa membuat aduan. Ini perlu dilakukan bagi mengelakkan daripada berlakunya sesuatu masalah berkaitan dengan pembelian. Kita boleh menaipnya dan menyusunnya semula dalam satu dokumen yang lengkap dan boleh menyokong aduan kita. Kedua, pastikan aduan yang dibuat mengandungi tuntutan yang jelas. Tuntutan yang jelas bermakna pengguna menetapkan tindakan yang harus dilakukan oleh syarikat terbabit. Pengguna perlu meminta penyelesaian atau tindakan yang khusus agar pihak berkenaan jelas terhadap permintaan mereka. Pengguna wajar membuat tuntutan yang bersesuaian dengan kerugian yang dialami. Cara ini lebih berkesan daripada memberikan pihak syarikat membuat tindakan sendiri. Pengguna juga perlu mengetahui undang-undang berkaitan kepenggunaan dalam membuat tuntutan. Nyatakan tuntutan yang bertepatan dengan piawaian undang-undang di Malaysia. Rujuk kepada undang-undang atau akta yang berkaitan dengan perkara yang diadu. Sebagai contoh, merujuk akta perlindungan pengguna 1999 yang mengetengahkan pelbagai hak pengguna boleh dibidas semula jika kita gagal diberikan hak yang sewajarnya. Oleh itu, kita perlu menyatakan peruntukan undang-undang yang berkaitan di dalam surat aduan atau panggilan. Tindakan ini mencerminkan sikap pengguna yang peka dan prihatin. Pengguna yang berpelajaran mampu mempengaruhi tindakan pengusaha untuk mengikuti lunas undang-undang. Segelintir pihak syarikat melihat bahawa pengguna tidak layak untuk membuat tuntutan. Hakikatnya, pengguna wajar menuntut hak sendiri. Kita tidak boleh berdiam diri. Kebanyakan di antara kita tidak mahu membuat tuntutan kerana perkara sebegini jarang dibuat dan pengguna tidak yakin untuk melaksanakannya. Ketiga, bawa aduan kita kepada presiden syarikat jika tidak mendapat layanan atau tindakan pihak pengurusan atau bahagian khidmat pelanggan. Walaupun tindakan ini agak bertentangan dengan prosedur protokol, tetapi ia relevan jika permintaan kita ditolak oleh pihak bawahan. Jika orang yang melayani aduan kita nampaknya tidak mampu atau keberatan membantu, bawa aduan kita kepada penyelia atau ketuanya. Melalui cara ini kita mudah menerima tindak balas daripada aduan kita kerana pengurus atau president akan membawa masalah kita ke pengetahuan orang yang bertanggungjawab menguruskan masalah kita. Seterusnya layanan yang sepatutnya akan diberi kepada kita. Selain membuat aduan, kita juga boleh memberi surat aduan kepada pihak atasan demi mendapatkan perhatian dengan lebih berkesan dan cepat setelah diabaikan oleh pihak bawahan. Kebanyakan syarikat sangat mengambil berat tentang kepuasan pelanggan. Lantaran itu, mereka tidak akan membiarkan pihak syarikat mengabaikan kepuasan anda. Tindakan seterusnya dari pihak syarikat perlu anda ikuti seperti mengadakan temu janji dan rundingan untuk mengatasi masalah anda dan meminta anda hadir menuntut ganti rugi. Keempat, jangan kemukakan aduan kita kepada orang yang tidak mempunyai kuasa atau kewibawaan bagi menyelesaikan masalah tersebut. Hal ini kerana permintaan kita tidak dapat tertunai seperti yang dikehendaki. Sebaliknya membuang masa pengguna. Bertindak bijak dengan membuat aduan kepada pihak yang tepat. Selain itu, kita tidak perlu memberi aduan kepada orang yang enggan memberi nama dan jawatan mereka. Kemusykilan kepada pihak yang menerima aduan akan menyebabkan pengguna tidak yakin terhadap keberkesanan aduan. Aduan yang hendak disampaikan mungkin akan melibatkan banyak pihak. Selain daripada pihak syarikat yang menyeleweng, kita juga boleh membuat aduan kepada pihak berwajib. Pengguna boleh mengemukakan aduan menggunakan pelbagai medium yang terdapat dalam negara. kita juga boleh menggunakan media massa sebagai medium untuk membuat aduan. Kelima, langkah seterusnya jika kita tidak menerima apa-apa tindak balas dari aduan terdahulu, pengguna perlu membuat aduan susulan dan mengulangi aduan untuk mendapatkan perhatian pihak terbabit. Situasi ini perlu dilakukan dengan lebih berkesan dan tegas. Buktikan kita serius dan tidak main-main. Nyatakan bahawa kita tidak mahu masalah tersebut berlarutan tanpa sebarang tindakan daripada pihak syarikat. Lebih baik jika kita menyatakan untuk tidak mahu mengulangi aduan itu berkali-kali. Nyatakan pada kali pertama kita membuat aduan. Keenam, bertutur dengan nada suara yang tegas dan berkeyakinan. Kajian menunjukkan mereka yang bertutur dengan tegas dan yakin telah menimbulkan persepsi yang positif pendengar dan penonton. Masyarakat yang bertutur dengan yakin dan serius dipandang berilmu dan disegani. Cuba kawal emosi kita ketika membuat aduan. Sekiranya kita tidak dapat mengawal perasaan, kita tidak akan dapat mengemukakan aduan secara berkesan. Bertenang dan susun strategi yang berkesan ketika membuat aduan. Ketujuh, Kumpulkan fakta dan statistik. Pengguna boleh mengumpul data dan statistik berkaitan dengan perkara yang diadu untuk membuktikan kesahihan aduan mereka. Dapatkan bukti ketika menyedari berlakunya sesuatu masalah, cuba dapatkan maklumat lanjut yang boleh membantu pengguna dalam membuat aduan, contohnya mengambil gambar barangan yang rosak tersebut untuk dijadikan bukti. Lihat sama ada pengguna lain turut menghadapi masalah yang sama untuk mengambil tindakan secara kolektif. Sedikit kajian perlu bagi menjadikan usaha kita berbaloi. Menurut John dalam bukunya seorang pengguna bertindak bijak dengan Kelapan, kita juga harus bersikap rasional dalam membuat tuntutan pada aduan kita. Berikan tempoh yang masa yang berpatutan bagi pihak syarikat untuk mengambil tindakan. Jangan menuntut sesuatu yang tidak relevan atau tidak bersesuaian dengan tanggungan kita. Toleransi ini akan memberi keharmonian pada kedua pihak dan pengguna juga akan dapat ganti rugi daripada kerugian tanpa wujud ketegangan. Kebanyakan syarikat yang berkaliber tidak memerlukan banyak masa untuk membaiki kesilapan mereka. Lihat pada situasi pengguna yang mengadu. Jika pengguna membuat panggilan telefon dan aduannya mendapat perhatian, pengguna boleh menunjukkan rasa puas hati terhadap permintaannya. Jika sebaliknya anda perlu menggunakan alternatif lain contohnya menulis surat. Kesembilan, anda perlu mendapatkan kepastian semula pada akhir perbualan atau aduan anda yang melibatkan persetujuan pihak terbabit. Anda perlu mengulangi segala persetujuan atau janji yang diberikan oleh wakil syarikat kepada anda. Wujudkan dialog dengan jelas tanpa segan silu seperti “Oleh itu, benarlah pihak tuan akan membayar semula kerugian saya sebanyak RM30.00. Saya akan hadir di premis tuan untuk mendapatkannya”. Atau, “ pastikan pihak tuan kredit kan kepada saya sejumlah RM30.00 dalam tempoh tiga hari sebagai tanda tanggungjawab pihak tuan”. Langkah kesepuluh, Sentiasa ikuti dan catatkan perkembangan aduan mengikut kronologi termasuk panggilan telefon dan temu janji. Simpan salinan setiap bukti aduan yang anda hantar seperti surat, email, atau panggilan. Tindakan ini bertujuan untuk menjadi bukti tindakan anda dan menguji sejauh mana kecekapan pihak terbabit bertindak untuk menyelesaikan masalah anda mengikut ukuran masa. Jika penerima panggilan menunjukkan kesibukannya untuk melayani aduan anda, lebih baik anda membuat aduan melalui surat. Buat aduan secara bertulis. Pastikan perkara yang diadu dinyatakan dengan jelas. Surat tersebut hendaklah ditulis dengan ringkas dan padat. Sekiranya perlu, lampirkan salinan dokumen asal. Pastikan anda tidak menghantar resit, kad jaminan dan bukti pembelian asal yang lain. Sebaik-baiknya, salinan surat tersebut turut dihantar kepada pihak-pihak lain yang boleh membantu mendapatkan penyelesaian, seperti agensi kerajaan yang berkenaan, persatuan pengguna yang berhampiran, persatuan penduduk atau akhbar-akhbar yang mempunyai ruangan khas aduan pengguna. Catatkan kekerapan anda membuat aduan. Catatkan juga respons daripada pihak terbabit. Jika anda telah membuat aduan seperti cara-cara yang dinyatakan di atas tetapi masih gagal untuk mendapatkan penyelesaian dan memerlukan bantuan, anda boleh menghubungi pihak berwajib. Pengguna Malaysia sangat beruntung kerana pihak kerajaan sangat prihatin terhadap nasib pengguna yang sering menjadi mangsa pengusaha yang tamak. Sebanyak 11 agensi perlindungan pengguna telah dibangunkan untuk dijadikan medium pengaduan. Antaranya adalah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Biro Pengaduan Awam (BPA), Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air (KTTHA), Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Biro Pengantaraan Kewangan (BPK) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Jelas di sini, keprihatinan kerajaan melambangkan pentingnya usaha mengharmonikan fenomena jual beli yang telus dan saksama. Selain daripada berbangga, rakyat Malaysia harus bijak menggunakan khidmat yang ada untuk membantu kerajaan menangani masalah kepenggunaan yang berlaku dalam masyarakat melalui aduan. Oleh itu beberapa panduan boleh digunakan oleh pengguna untuk membuat aduan secara berkesan dan berhikmah. Kesimpulannya, usaha untuk memurnikan urusan jual beli adalah cabaran besar buat anda jika anda mahu bermula. Kini majoriti pengguna Malaysia menganggap isu pengguna sebagai satu perkara remeh. Mereka cenderung menganggap pengadu bersikap aneh berbanding nasib yang dialami oleh si pengadu yang pedih. Kebanyakan mereka tidak mahu membesar-besarkan isu dan menganggap perkara ini membuang masa malah sesetengahnya hanya mampu mengeluh apabila mereka secara langsung terlibat dan perlu mendapat ganti rugi. Hal ini mungkin kerana pendidikan kepenggunaan yang kurang dalam kalangan rakyat dan situasi penindasan yang menjadi kebiasaan dalam senario kehidupan mereka. Penentangan yang wujud pula dianggap luar biasa. Lantaran itu, etika dan strategi dalam pengaduan harus proaktif dan efektif agar tindakan ini mampu mengubah corak kezaliman yang berleluasa hari ini. Sebagai pengguna yang lestari, kita perlu berfungsi sebagai insan yang berilmu dan berhikmah bagi menangani kekangan ini. Oleh itu, masyarakat dan pihak tertentu wajar bersikap siaga berdiri di paksi yang asli dan mencipta resolusi dalam urusan jual beli agar lebih lestari.

mimpi mahluk

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Asalamualikum. saya gusar mimpi saya x keruan sejak kebelakangan ini. Sebelum ini saya bermimpi melihat warna hitam sahaja, kemudian mimpi membuang air besar dan dilihat orang, kemudian saya bermimpi warna putih sahaja dan selepas itu saya bermimpi memegang anak khinzir yang masuk kerumah saya. Saya mahu bersamak tapi saya terjaga pula. Setelah itu saya bermimpi menaiki tangga ke suatu tempat. Selama 5 hari saya bermimpikan yang saya yakin ada alamat tersembunyi. Saya berharap agar tiada apa2 perkara yang tidak diingini berlaku. Semoga Allah membantu saya mengahdapi kesulitan yang mendatang. hurm^^ mood --- x sabar nk tahu mimpi untuk mlm ni pulak---

Sabtu, 26 Mei 2012